SANDAKAN - Seorang bapa tampil meluahkan perasaan sedihnya mengenai keadaan tempat anaknya bersekolah di daerah ini yang sering dinaiki air ketika fenomena air laut pasang.
Luahannya itu dicurahkan menerusi akaun TikTok, Awang Faizal Awang Y melalui satu hantaran video berdurasi 49 saat yang memaparkan keadaan parit dinaiki air dan seterusnya melimpah ke kawasan sekolah.
Dalam luahannya itu, Awang Faizal menyatakan perasaan kasihannya terhadap murid di sekolah tersebut termasuk anaknya yang tidak dapat ke kantin apabila air melimpah sehingga ke laluan kantin.
"Kasihankan anak-anak kami, apabila air pasang laut tinggi maka pelajar tidak dapat ke kantin sekolah. Ya, yang berwarna kuning itulah kantin sekolah.
"Apalah nasib anak-anak kami yang tidak mendapat keselesaan di ruangan sekolah sama seperti anak-anak lain. Apakah tidak berhak?
"Ini adalah sekolah. Pusat menimba ilmu, bagilah mereka keselesaan ruangan tempat rehat iaitu kantin yang baik dan selamat. Tuan-puan semua, air ini bukan air banjir ya, tetapi air masin iaitu air laut pasang tinggi," tulisnya dalam keterangan video tersebut.
Menurut beliau, kawasan Batu 10 tempat sekolah itu terletak juga merupakan kawasan habitat haiwan buas seperti buaya.
"Tahun ini Majalah 3 baharu sahaja buat liputan mengenai buaya. Ya, tidak jauh daripada sekolah ini," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak bertanggungjawab supaya dapat melihat keadaan sekolah tersebut dan seterusnya menaik taraf sekolah yang dikategorinya sebagai sekolah daif.
"Mohon jasa baik kepada wakil rakyat, parti politik, pemimpin, kerajaan atau siapa siapa yang berhak membantu menaik tarafkan lagi sekolah yang daif ini.
"Sesungguhnya anak-anak kami berhak mendapatkan keselesaan kerana mereka semua adalah warganegara," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!