PDRM pantau secara menyeluruh aktiviti radikal, pelampau

Iklan
Razarudin memeriksa perbarisan ketika menghadiri perhimpunan bulanan Jabatan Logistik dan Teknologi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebarang bentuk aktiviti oleh individu, kumpulan radikal atau pelampau agama di negara ini perlu dipantau secara menyeluruh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setiap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memastikan dan meletakkan kesemua elemen berada dalam keadaan siap siaga.

Iklan
Iklan

"Kepimpinan tertinggi perlu memastikan setiap ibu pejabat polis daerah (IPD), kontinjen dan balai untuk bersiap-siaga dan melaksanakan penugasan dengan cepat dan tepat selain menepati prosedur operasi standard (SOP) atau arahan semasa.

"Pemantauan secara holistik perlu dijalankan melibatkan sebarang aktiviti sama ada individu mahupun kumpulan radikal atau pelampau agama dan lain-lainnya.

Iklan

"Masa sama sentiasa amalkan nilai integriti yang tinggi dalam lapangan dan menghindari rasuah serta salah guna kuasa," katanya ketika menyamaikan amanat dalam perhimpunan bulanan yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat.

Tegasnya, warga PDRM juga diingatkan agar berhemah dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen negatif yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja ketika melayari media sosial.

Iklan

"Semua anggota dan pegawai perlu memastikan kepatuhan peraturan dan arahan di tahap tinggi serta meletakkan keselamatan negara dan ketenteraman awam sebagai matlamat utama," katanya.

Majlis sama turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada anggota dan pegawai polis serta pegawai awam.

"Saya turut berbesar hati untuk menyampaikan sijil pPenghargaan kepada 18 pegawai polis dan pegawai awam dari semua jabatan yang telah menunjukkan prestasi perkhidmatan cemerlang.

"Marilah kita bersama-sama berusaha melaksanakan tugas dengan cepat, tepat dan telus, serta mensyukuri nikmat rezeki yang pelbagai tanpa pertikaian," katanya.


RM112.6 juta peruntukan libat 465 projek baik pulih kuarters PDRM

Dalam perkembangan berasingan, Razarudin berkata, sebanyak RM112.6 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 465 projek pembaikan dan naik taraf kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun lalu.

Menurutnya, rentetan itu pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya berjaya melaksanakan penambahbaikan melibatkan 4,612 unit rumah kuarters di seluruh negara.

Beliau berkata, selain kerja-kerja meliputi pembaikan saluran paip dan pendawaian, sebanyak RM14.4 juta peruntukan dimanfaatkan untuk kerja pengubahsuaian sebanyak 286 unit kuarters lama PDRM.

"Ia melibatkan pengubahsuaian unit berkeluasan di bawah 700 kaki persegi dengan dua bilik menjadi 143 unit kuarters berkeluasan 1,200 kaki persegi (tiga hingga empat bilik tidur).

"Pengubahsuaian berkenaan melibatkan dua unit menjadi satu unit kuarters sekali gus dapat memberi keselesaan kepada penghuni kuarters," katanya dalam perhimpunan bulanan Jabatan Logistik dan Teknologi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat.

Katanya, peruntukan dan pelaksanaan projek itu turut meliputi balai polis dan pos Pasukan Gerakan Am (PGA).

Razarudin (tengah) ketika menghadiri perhimpunan bulanan Jabatan Logistik dan Teknologi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat.

"Usaha pembaikan ini merupakan langkah permulaan di bawah kerangka Pembangunan Malaysia Madani.

"Komitmen ini diteruskan dengan pengukuhan peruntukan pada tahun ini berjumlah RM11.656 bilion, pertambahan sebanyak RM661.59 juta iaitu peningkatan 6.02 peratus berbanding peruntukan tahun 2023," katanya.

Menurutnya, sejumlah 12 projek di bawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Kedua Belas dengan implikasi kewangan berjumlah RM1.35 bilion turut diluluskan.

"Keseluruhan projek ini merupakan jumlah projek paling banyak diluluskan berbanding tahun-tahun sebelumnya melibatkan pembinaan ibu pejabat polis daerah (IPD), balai polis, kuarters perumahan dan lain-lain fasiliti.

"Antaranya melibatkan IPD Kemaman dan Balai Polis Kijal, Terengganu; IPD dan Balai Polis Padang Besar serta perumahan, Perlis; IPD dan Balai Polis Nabawan serta perumahan Sabah; Balai Polis Jelutong dan Perumahan Pulau Pinang, Bengkel Pengangkutan IPK Kedah dan Menara Tinjau Pos Batu Putih, Perlis," katanya.

Tegasnya, warga PDRM perlu mensyukuri nikmat kemudahan dan fasiliti yang disediakan.

"Tingkatkan penerapan dan amalan budaya disiplin yang mementingkan kebersihan serta memelihara setiap kemudahan dan fasiliti yang disediakan untuk kesejahteraan bersama.

"Selain itu, anggota dan pegawai turut dikehendaki sentiasa memastikan kepatuhan terhadap peraturan dan arahan di tahap tinggi dan meletakkan keselamatan negara dan ketenteraman awam sebagai matlamat utama," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!