Penularan wabak koronavirus jejas kempen Melawat Malaysia

Iklan
Kelihatan sebuah keluarga memakai topeng penutup mulut dan hidung ketika tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.-fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR – Penularan wabak koronavirus dan halangan perjalanan oleh kerajaan China ke atas Wuhan dan tujuh bandar raya lain di negara itu dijangka menjejaskan kempen Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Kenanga dalam nota kajiannya hari ini berkata, kebimbangan ketika ini ialah virus itu boleh tersebar luas dan pantas susulan aktiviti perjalanan sepanjang Tahun Baru Cina seperti yang terjadi semasa sindrom pernafasan akut teruk (SARS) pada 2003 yang menjejaskan ketibaan pelancong dari China dan tempat lain.

Iklan
Iklan

"Ini akan menjejaskan ekonomi sekurang-kurangnya pada separuh pertama 2020.

"Seperti penularan wabak virus SARS pada 2003, kami menjangkakan kerajaan Malaysia akan mengambil langkah monetari dan fiskal awal bagi menyokong sektor pelancongan serta sektor pengangkutan dan runcit memandangkan impaknya akan mencetuskan risiko defisit fiskal dan nisbah hutang yang lebih tinggi kepada keluaran dalam negara kasar,” katanya.

Iklan

Menurut Kenanga, jika epidemik itu tidak serius atau jumlah kematian tidak meningkat pada kadar yang membimbangkan, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi pada 4.3 peratus tahun ini berbanding unjuran rasmi 2020 pada 4.8 peratus.

"Berdasarkan tahap penularan virus itu, terutama ketika aktiviti perjalanan memuncak sempena cuti Tahun Baru Cina, kami melihat tahap kebimbangan telah meningkat dalam kalangan pengguna yang berpotensi akan memberi kesan limpahan kepada ekonomi,” katanya.

Iklan

Setakat hari ini, virus itu telah tersebar ke sembilan negara termasuk Thailand, Jepun, Korea, Hong Kong, Taiwan, Macau, Singapura, Vietnam dan Amerika Syarikat dengan 18 kematian.

Pada 2003, wabak SARS menyusupi ekonomi negara dengan kesannya dirasai pada lewat Mac sehingga akhir Mei sebelum kembali reda.

Firma penyelidikan itu berkata, ekonomi berkembang pada kadar perlahan, mencatat paras terendah dalam tempoh enam suku terutama disebabkan oleh sektor perkhidmatan dengan kejatuhan ketara dagangan borong dan runcit selain subsektor restoran dan hotel.

"Aktiviti pelancongan juga suram dengan ketibaan pelancong merosot dua suku berturut-turut dan kekal rendah sehingga 2005,” katanya. - Bernama