Penampakan banyak mayat selepas ais mencair di Everest

Iklan
Sampah-sarap yang dibawa turun dari Everest diasingkan di sebuah kemudahan di Kathmandu. Foto Agensi

KATHMANDU - Salji yang semakin mencair di lereng Gunung Everest akibat fenomena pemanasan global telah mendedahkan ratusan mayat pendaki yang tidak sempat merealisasikan impian masing-masing untuk menawan puncak tertinggi di dunia itu.

Pada tahun ini, sebuah kumpulan telah dikerahkan untuk melaksanakan misi mencabar untuk membawa turun sebahagian daripada mayat beku tersebut dari puncak setinggi 8,848 meter (m) itu.

Iklan
Iklan

Sebanyak lima termasuk satu yang hanya tinggal rangka berjaya dikesan di bawah sebahagian daripada 'kempen pembersihan' di Everest dan puncak bersebelahan Lhotse serta Nuptse.

'Zon maut' adalah laluan pendakian paling mencabar buat para pendaki. Foto Agensi

Ia ternyata satu tugas yang berbahaya, namun kumpulan penyelamat itu sanggup memperjudikan nyawa mereka.

Iklan

Kumpulan itu mengambil masa selama beberapa jam untuk memecahkan ais dengan kapak dan ada yang menggunakan air panas untuk mencairkan ais tersebut.

"Mayat dan timbunan sampah-sarap semakin kelihatan dengan jelas," kata Aditya Karki yang mengetuai pasukan terdiri daripada 12 anggota tentera dan 18 pendaki itu.

Iklan

Masih banyak mayat dan ada yang tertimbus salji atau terperosok ke dalam jurang terutamanya di 'zon maut' di mana paras udara dan oksigen adalah sangat rendah.

Antara mayat yang berjaya ditemui di bawah misi mencabar itu. Foto Agensi

Ada yang masih lengkap berpakaian seperti 'Green Boots' dan 'Sleeping Beauty' yang telah menjadi 'mercu tanda' untuk laluan pendakian menuju ke puncak.

"Usaha membawa turun mayat itu adalah tugas yang amat sukar. Tetapi, perlu dilakukan kerana terdapat kesan psikologi. Melihat mayat bergelimpangan ketika ekspedisi itu boleh memberikan kesan negatif kepada kumpulan pendaki," jelas Karki.

Kos tinggi

Menurutnya, salah satu mayat membeku bersama ais dan mereka mengambil masa 11 jam untuk dipisahkan.

"Ia benar-benar amat sukar. Proses membawa turun adalah satu lagi cabaran besar buat kami," kata Tshiring Jangbu Sherpa sambil menambah sebahagian mayat masih sempurna dan dilengkapi peralatan untuk mendaki.

Difahamkan, misi membawa turun mayat dari altitud tinggi merupakan topik kontroversi dalam kalangan komuniti pendaki.

Hal ini kerana ia menelan kos ribuan dolar dan seramai lapan anggota penyelamat diperlukan untuk mengendalikan setiap satu mayat.

Anggota penyelamat menyifatkan ia sebagai tugas paling sukar. Foto Agensi

"Berat setiap mayat boleh mencecah hampir 100 kilogram. Pada ketinggian seperti itu, keupayaan individu untuk membawa beban yang berat juga akan terkesan. Kami perlu membawa turun seramai yang boleh. Jika tidak, laluan ke puncak Everest akan menjadi kuburan," ujarnya lagi.

Mayat tersebut biasanya akan dibungkus dalam beg dan diletakkan atas kereta luncur plastik sebelum diseret ke bawah.

Simpan banyak rahsia

Bagi Sherpa, pengalaman membawa salah satu mayat di puncak Lhotse setinggi 8,516m adalah yang paling mencabar.

"Tubuhnya membeku dengan tangan dan kakinya dalam keadaan terbuka. Kami perlu membawanya ke Kem Tiga sebelum diletakkan pada kereta luncur," tambahnya.

Rakesh Gurung di Jabatan Pelancongan Nepal berkata, dua mayat telah dikenal pasti dan pihak berkuasa sedang menunggu ujian selanjutnya untuk membuat pengesahan.

Mayat yang sudah berjaya dibawa turun telah dihantar ke Kathmandu dan mereka yang 'tiada identiti' akan dibakar.

Meskipun pelbagai usaha pembersihan telah dibuat, Everest masih menyimpan banyak rahsia.

"Gunung tertinggi di dunia ini telah memberi banyak peluang kepada para pendaki. Kita perlu 'menghargainya' dengan membersihkan sisa sampah dan mayat yang mencacatkan pemandangan," ujar Sherpa lagi.

Karki berkata, tekanan utama ekspedisi itu adalah untuk membersihkan sampah-sarap yang ditinggalkan pendaki musim ini.

"Siapa yang akan membawa turun sisa sampah lama? Ia tetap akan kekal di sana," menurutnya. - Agensi

Info:

>Lebih 300 maut sejak ekspedisi mendaki Everest bermula pada 1920-an. Pada musim tahun ini, sebanyak kematian direkodkan.

>Mayat pendaki warga Britain, George Mallory yang hilang pada 1924 hanya ditemui pada 1999. Rakannya, Andrew Irvine gagal dijumpai.

>Kempen pembersihan dengan bajet lebih AS$600,000 (RM283,020) disertai 171 sherpa untuk mengumpulkan kira-kira 12 tan sampah-sarap termasuk sisa najis dan khemah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!