SUNGAI BAKAP - Kerajaan Pulau Pinang menawarkan rumah mampu milik kepada 21 keluarga di Kampung Makau Suah di sini, yang diminta mengosongkan rumah mereka sebelum Ahad ini.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, tawaran itu diberikan atas dasar ihsan terhadap mangsa yang didakwa tiada tempat bergantung setelah menetap di perkampungan itu sejak 50-an sebelum diminta kosong oleh pemilik tanah.
Menurutnya, sebuah rumah mampu milik bernilai RM42,000 di Taman Puteri Gunung ditawarkan kepada penduduk yang terjejas secara terus berbanding sebelum ini perlu membuat permohonan dan menunggu giliran.
"Kerajaan tawar rumah mampu milik ini dengan bayaran 10 peratus deposit dengan anggaran RM4,200 perlu disediakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika meninjau permasalahan yang dihadapi penduduk di Kampung Makau Suah di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S Sundarajoo dan calon Pakatan Harapan PRK DUN Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin.
Menurut Mohamad, notis tuntutan awal pengosongan diterima beberapa hari lalu dengan pampasan dimaklumkan akan diberikan sebanyak RM3,000.
Sementara itu, Sundarajoo berkata, satu perjumpaan akan diadakan bersama tuan tanah sebagai rundingan meningkatkan jumlah pampasan sekiranya dibenarkan, bagi membantu penduduk menyediakan deposit bagi pembelian rumah mampu milik yang ditawarkan kerajaan.
"Kita juga akan memohon supaya notis pengosongan tanah pada Ahad ini dibatalkan, memandangkan ada cadangan penyelesaian daripada pihak kerajaan negeri.
"Sekiranya kesemua 21 keluarga ini bersetuju untuk membeli rumah yang ditawarkan, kita akan percepatkan proses pemilikan," katanya.
Selain itu, Nordin Hassan, 66, berkata, penduduk resah sebaik sahaja mendapat perkhabaran tentang notis pengosongan di rumah yang diduduki sejak tahun 1991 itu setelah berkahwin dengan isterinya yang merupakan penduduk asal kampung berkenaan.
"Kami berada lega apabila masalah kami mendapat perhatian kerajaan negeri, harap ada penyelesaian selepas ini,"katanya.
*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.