ALOR SETAR - Kerajaan disaran menyalurkan subsidi petrol kepada semua rakyat negara ini tanpa mengira status sama ada B40, M40 atau T20.
Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Azwardi Md Isa berkata, penyaluran subsidi petrol kepada rakyat boleh dilakukan melalui kaedah identiti kad pengenalan bagi mengelak berlakunya ketirisan.
Menurutnya, selain kad pengenalan, alternatif lain termasuk memperkenalkan kaedah pembayaran petrol melalui kad debit atau kredit, serta sistem khas bagi mengesahkan pembeli adalah rakyat Malaysia.
"Rakyat negara ini secara amnya berhak untuk menikmati subsidi petrol (semua jenis), kerajaan seharusnya menilai semula kaedah penyasaran petrol.
"Selepas penyasaran subsidi diesel, sudah tentu fasa seterusnya adalah penyasaran petrol. Kesannya, akan berlaku peningkatan harga barang mendadak.
"Berbeza dengan kenaikan diesel, kenaikan petrol bersifat ‘marhaen’ kerana digunakan oleh perseorangan yang beri impak terus kepada pendapatan boleh guna rakyat,” katanya di sini pada Jumaat.
Mohd Azwardi yang juga Pensyarah kanan, Jabatan Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, kerajaan boleh bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dalam menaik taraf sistem imbas pengenalan diri untuk mengenal pasti MyKad di stesen minyak seluruh negara.
"Apabila disahkan kad pengenalan, barulah pembeli layak membeli pada harga subsidi. Dengan menggunakan kaedah ini, hanya rakyat Malaysia layak menerima subsidi petrol.
"Malah menerusi pendekatan ini, kerajaan juga dapat memantau sekiranya ada individu yang membeli petrol dalam jumlah banyak dan mencurigakan,” jelasnya.
Menurutnya lagi, rakyat sebenarnya gusar jika ada yang tercicir dalam penerimaan subsidi petrol kerana keciciran ini membebankan mereka yang sebelum ini dibebani dengan kenaikan diesel.
"Rakyat sekali lagi terbeban meneruskan kehidupan harian akibat kos sara hidup meningkat.
"Mereka gusar dan tertekan dengan kenaikan ini, amat wajar kerajaan berikan subsidi kepada semua rakyat Malaysia, bukannya pekerja asing, rakyat Singapura atau Thailand,” katanya.
Sebelum ini, tindakan kerajaan menamatkan subsidi diesel pada 10 Jun lalu telah meresahkan rakyat dan mendapat pelbagai reaksi susulan penamatan subsidi diesel.
Antara yang menimbulkan kegusaran ialah kenaikan mendadak harga barang keperluan serta perkhidmatan.
Dalam pada itu, Mohd Azwardi berkata, sudah ada beberapa sektor yang terkesan akibat penarikan subsidi diesel dalam tempoh singkat.
"Kita dapati pengguna berdepan kenaikan harga barangan asas seperti sayur dan bawang. Sudah ada kedai runcit yang menaikkan harga untuk menampung kenaikan kos operasi.
"Pengusaha restoran turut menaikkan harga jualan termasuk teh tarik, menu paling popular dalam negara dengan alasan, harga barang seperti serbuk teh dan susu sejat makin mahal,” ujarnya.
Menurutnya lagi, sektor pembinaan tidak terkecuali mengalami kenaikan harga barangan dengan peningkatan hampir 30 peratus susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
"Ini sudah pasti akan menyebabkan peningkatan harga rumah dan kos pembinaan bangunan. Kenaikan harga barangan berlaku kerana kebanyakan kenderaan perdagangan menggunakan diesel,” jelasnya.
Mohd Azwardi memaklumkan, pada masa sama, penarikan subsidi diesel juga membawa kesan positif apabila penyasaran subsidi bahan api itu berjaya mengurangkan aktiviti penyeludupan.
"Tindakan tersebut dapat menyelamatkan wang negara sekurang-kurangnya RM4 bilion setahun daripada diratah penyeludup. Ini kerana penyeludupan diesel bersubsidi dibawa masuk secara haram ke negara jiran, Thailand secara berleluasa disebabkan diesel lebih mahal di sana dan penggunaannya lebih banyak terutama dalam sektor pertanian,” jelasnya.
Menurutnya lagi, agensi penguatkuasaan juga dilihat berjaya mematahkan cubaan menyeludup diesel dan petrol bernilai ratusan ribu khususnya di negara bersempadan Thailand.
"Penyelewengan diesel subsidi dalam industri sebenarnya adalah penyumbang utama kepada ketirisan subsidi diesel, menyebabkan diesel bersubsidi tidak sampai kepada golongan sasaran,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!