TINDAKAN Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat pusingan u mengurangkan hukuman dengan membatalkan dua tindakan yang dikenakan ke atas Selangor FC dilihat sebagai nasi sudah menjadi bubur.
Penganalisis sukan, Zainal Abidin Rawop berkata, tindakan tersebut sepatutnya tidak berlaku, namun setelah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kemurkaan, MFL mengubah pendirian mereka.
Beliau berkata, keputusan sepatutnya tidak dibuat secara terburu-buru dan beremosi, sebaliknya isu tersebut perlu diurus dengan tenang dan pengalaman bagi mengelak insiden sama berulang pada masa depan.
"Selepas ini hukuman perlu panggil pihak berkaitan (Selangor FC) untuk kemukakan hujah dan dokumen, kemudian baru jatuh hukum, tapi ikut sedap mulut (hukuman).
"Sepatutnya ia tak berlaku pada saya MFL 'jump the gun', tidak beri peluang dan panggil Selangor FC untuk beri penjelasan.
"Nasi sudah jadi bubur dan kemudian bubur nak jadikan semula nasi himpit. Itulah keadaannya, jadi masing-masing (MFL) tidak tahu nak buat apa, akhirnya buat pusingan u dan kena balik dengan warganet,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan MFL membatalkan keputusan pemotongan tiga mata dan aksi tanpa penonton melibatkan pertemuan Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di gelanggang skuad Gergasi Merah nanti.
Malah, MFL juga mengurangkan denda daripada RM100,000 ke RM60,000 terhadap Selangor FC.
Pertimbangan tersebut dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor.
Zainal Abidin menyeru MFL kembali kepada hala tuju untuk memajukan liga dan bola sepak negara supaya isu kontroversi di luar padang dapat dielakkan.
Beliau berkata, di sebalik masalah Video Bantuan Pengadil (VAR) yang belum selesai, timbul pula isu baharu tersebut yang akhirnya boleh menyebabkan liga tempatan merudum dan lingkup jika gagal ditangani dengan baik.
"MFL perlu ambil inisiatif untuk bantu pihak (kelab) yang nak main bola sepak ini untuk meriahkan liga bukan dengan cuba jauhkan dari MFL,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!