SHAH ALAM - Gelagat seorang bayi lelaki berusia lima bulan, Mohammad Hail Maleeq yang menangis tanpa henti ketika mahu tidur jika kucing kesayangan, 'Lala' tiada bersamanya di dalam buaian mencuit hati pengguna media sosial.
Menurut ibunya, Noreha Mustapa, 34, kerenah anak bongsu daripada tiga beradik itu mula disedari ketika mereka berpindah ke rumah baru pada Januari lalu.
"Sejak masuk rumah baru, anak saya kerap sangat menangis dan penyewa sebelum ini dia letak daun bidara untuk elak benda halus masuk rumah.
"Orang tua kata kucing ada naluri kalau benda tak elok dalam rumah. Satu hari tu Maleeq menangis, bila 'Lala' datang dekat tidur dengan dia...terus Maleeq diam dan tenang.
"Sejak daripada itu, memang saya akan biarkan saja kucing tidur dengan anak jika dia masih meragam walaupun sudah diberikan susu secukupnya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurut Noreha, kucing peliharaan mereka kini hanya dua ekor setelah dia terpaksa menjual kucing mereka kerana mengalami alahan meroyan kulit sewaktu mengandungkan Mohammad Hail Maleeq.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen mengakui mereka terhibur melihat teletah bayi tersebut dan tidak kurang juga ada yang menasihati supaya berhati-hati dengan bulu kucing kerana bimbang akan memudaratkan kesihatan.
Dalam pada itu, menjawab persoalan kepada kakak kepada bayi berkenaan Ratu Neldhia Laufa, 7, yang disahkan menghidap penyakit asma, Noreha menafikan punca penyakit berkenaan disebabkan kucing.
Ujarnya, doktor mengesahkan bahawa asap rokok atau vape adalah menjadi faktor utama yang menganggu kesihan anak kedua daripada tiga beradik tersebut.
"Alhamdulillah walaupun tidak teruk, tapi sekurangnya saya tahu apa yang menyebabkan kakak semput. Jadi saya akan lebih berhati-hati dan melindungi amanah ALLAH.
"Bagi ibu bapa di luar sana, pastikan anak anda sentiasa jauh daripada asap rokok dan vape kerana punca sakit bukan hanya datang daripada haiwan peliharaan sahaja (kucing)," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!