Sindiket buru, jual daging penyu

Iklan
Penyu antara spesies hidupan marin yang diancam pemburuan haram sindiket. Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM - Ada warga tempatan bersekongkol dengan warga asing dalam kegiatan sindiket penyeludupan penyu.

Ini berikutan sindiket yang mengaut untung atas jenayah dilakukan mereka susulan harga spesies itu mencecah ribuan ringgit di pasaran gelap.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Datuk Adnan Hussain berkata, siasatan mendapati sindiket ini melibatkan kru-kru bot warga tempatan dan asing.

Adnan

Menurutnya, sindiket menggunakan rangkaian yang luas untuk menyeludup penyu atau anggota badan reptilia terbabit.

Iklan

"Sindiket menggunakan laluan laut dan darat dengan pelbagai kaedah termasuk penyamaran daging penyu sebagai produk lain untuk mengelak pengesanan oleh pihak berkuasa.

"DOF percaya terdapat sindiket tertentu yang menyasarkan penyu untuk perdagangan daging dan produk lain seperti cangkerang."Nilai penyu di pasaran gelap boleh mencecah ribuan ringgit, bergantung kepada saiz dan spesies penyu,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.Beliau memberitahu, nilai seekor penyu di pasaran gelap juga bergantung kepada tujuan penggunaannya sama ada sebagai daging, cangkerang, atau produk lain. Namun, jelas Adnan, secara anggarannya, daging penyu yang dikeringkan atau diproses bernilai sekitar RM200 hingga RM500 sekilogram (kg).

Iklan
Proses pengeraman telur penyu dilaksanakan sebagai langkah pemuliharaan spesies penyu di Malaysia. Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Jika seekor penyu dewasa menghasilkan daging seberat 20kg hingga 30kg, nilainya boleh mencecah RM4,000 hingga RM15,000.

"Cangkerang penyu terutama daripada spesies penyu karah adalah bernilai tinggi hingga ribuan ringgit kerana digunakan dalam industri kraf tangan dan perhiasan,” ujarnya.

Tambah beliau, bahagian lain penyu seperti telur atau kulit juga mempunyai nilai di pasaran gelap dan telur penyu yang dianggap sebagai makanan istimewa boleh dijual pada harga RM2 hingga RM5 sebiji.

Menurut Adnan, ancaman kepupusan penyu bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga di peringkat global.

Ujar beliau, pemerdagangan haram adalah ancaman serius kepada spesies terancam ini selain daripada faktor lain seperti tangkapan sampingan pada peralatan penangkapan ikan, penjualan telur penyu, aktiviti pembangunan di kawasan pantai pendaratan penyu, pencemaran dan pemanasan global.

"Ancaman ini akan menjadi lebih serius jika tiada kawalan pemantauan dan penguatkuasaan yang dilakukan,” katanya.

DOF melaksanakan undang-undang melarang pembelian dan penjualan telur penyu bagi mengelak spesies hidupan marin itu tidak diancam kepupusan. Foto Sinar Harian/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Mengulas lanjut, kata Adnan, selain pemburuan haram, punca utama kepupusan penyu juga akibat aktiviti pembangunan kawasan pantai pendaratan penyu serta pencemaran di lautan seperti sampah, kayu balak dan tumpahan minyak.

"Sampah plastik yang menyerupai obor-obor akan dimakan oleh penyu.

"Selain itu, perubahan iklim juga antara faktor yang menyumbang kepupusan penyu kerana peningkatan suhu pasir dan mempengaruhi jantina anak penyu yang dieramkan.

"DOF juga mendapati terdapat penangkapan tidak sengaja dalam aktiviti perikanan daripada penggunaan pukat pari dan pukat tunda di kawasan rayau dan pantai pendaratan penyu,” ujarnya.

4 SPESIES PENYU DI MALAYSIA

Menurut Adnan, penyu merupakan sejenis reptilia marin dalam keluarga Chelonioidea.

"Terdapat empat spesies penyu sahaja di Malaysia iaitu penyu agar, penyu karah, penyu lipas dan penyu belimbing.

"Kesemua spesies penyu ini disenaraikan dalam Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Fauna dan Flora Liar (CITES) iaitu satu perjanjian antara kerajaan di peringkat global untuk mengawal selia atau mengharamkan perdagangan antarabangsa spesies terancam,” katanya.

DOF melaksanakan program pelepasan anak penyu sebagai langkah mempertingkat jumlah spesies itu di perairan negara. Foto DOF

Tambah Adnan, penyu agar merupakan spesies yang paling banyak mendarat di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, manakala penyu karah mempunyai rekod pendaratan tertinggi di Melaka selain pendaratan penyu lipas direkodkan di Pulau Pinang.

"Pendaratan penyu belimbing terakhir yang direkodkan adalah pada tahun 2017.

"Selain itu, DOF juga mendapati insiden kedamparan spesies penyu lain yang bermigrasi di perairan seperti penyu tempayan di Pulau Pinang.

"Jumlah keseluruhan penyu sukar untuk ditentukan secara tepat kerana populasi mereka sering berubah tetapi kesemua spesies ini berada dalam status terancam sebagaimana disenaraikan dalam Senarai Merah oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN),” katanya.

Kajian dilaksanakan DOF bagi memastikan spesies penyu di Malaysia tidak diancam kepupusan.

Adnan berkata, DOF mengambil beberapa langkah tegas untuk menangani isu penyeludupan penyu termasuk operasi penguatkuasaan bersama agensi-agensi lain.


INFO

(A) Spesies penyu di Malaysia

- Penyu belimbing

- Penyu karah

- Penyu agar

- Penyu lipas

(B) Tindakan undang-undang

- Akta Perikanan 1985 [Akta 317]

- Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686)

- Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!