Kamal Haasan promosi filem ‘Indian 2’ di Malaysia

Iklan
Kamal Haasan (empat, kiri) serta pelakon Siddharth (tiga, kanan) bergambar semasa promosi filem Indian 2 di sebuah pusat beli-belah pada Jumaat. Foto Bernama

PELAKON terkenal India, Kamal Haasan melahirkan rasa terima kasih kepada peminatnya di Malaysia atas sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya selama ini.

Kamal, 70, yang berada di ibu negara untuk mempromosikan filem ‘Indian 2’, sekuel filem blockbusternya pada 1996 ‘Indian’ berkata, keghairahan peminat memberikannya motivasi untuk berkembang maju dan berjaya.

Iklan
Iklan

"Sokongan tidak berbelah bahagi anda menjadi penyebab saya berdiri di hadapan anda hari ini, setiap kali tayangan filem saya, saya berusaha untuk datang dan bertemu anda semua,” katanya ketika promosi filem berkenaan di NU Sentral di sini malam tadi.

Menyentuh mengenai filem yang dikeluarkan dalam bahasa Tamil, Telugu dan Hindi itu, beliau berkata, Indian 2’ adalah hasil kerja keras dan dedikasi ramai individu berbakat.

Kamal Haasan. Foto Bernama

Iklan

Pemenang tiga kali anugerah filem kebangsaan India itu juga melahirkan rasa terima kasih kepada pengarah filem, Shankar serta penerbit, Lyca Productions dan pengedar, Red Giant Movies atas sumbangan tidak ternilai mereka kepada projek berkenaan.

Aktor itu turut mendedahkan sebab utama beliau bersetuju membintangi filem ‘Indian 2’ adalah kerana rancangan penerbitan sekuel filem itu iaitu ‘Indian 3’.

Iklan

"Kami merancang untuk melancarkannya (Indian 3) sejurus selepas keluaran ‘Indian 2’ ini," katanya.

Kamal Haasan ketika hadir promosi filem Indian 2 dan turut bersama pelakon Siddharth serta SJ Suryah. Foto Bernama

Filem ‘Indian’ yang dikeluarkan pada 1996 menampilkan Kamal sebagai pejuang kemerdekaan memberontak menentang rasuah di India sekali gus mewujudkan konflik dengan anaknya yang terlibat dalam amalan rasuah.

Filem itu menjadi filem Tamil yang menerima kutipan tertinggi selepas ditayangkan serta merupakan penyertaan India untuk Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Akademi pada 1996 walaupun ia tidak menerima pencalonan.

Mengenai kerjaya politiknya, Kamal berkata, beliau pernah mempertimbangkan untuk meninggalkan industri perfileman.

"Apabila memasuki bidang politik, saya mempertimbangkan untuk meninggalkan kerjaya seni untuk berkhidmat kepada rakyat, tetapi menyedari sokongan berterusan anda semua, saya memutuskan untuk meneruskan kedua-duanya, sekali gus mendorong saya kembali berlakon,” katanya.

Peminat filem Tamil tidak melepaskan peluang bertemu dengan tiga pelakon yang membintangi filem Indian 2 iaitu Kamal Haasan, Siddharth dan SJ Suryah semasa promosi filem tersebut di sebuah pusat beli-belah pada Jumaat. Foto Bernama

Pelakon itu memasuki arena politik pada 2018 dengan mengasaskan parti Makkal Needhi Maiam. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!