Sangkak masih popular

Iklan
Mohd Noor mengayam buluh untuk dijadikan sangkak.

KUALA KRAI - Generasi kini mungkin sudah tidak mengenali sangkak ayam atau lebih dikenali sebagai 'sakok' di Kelantan yang menjadi tempat ayam bertelur.

Bagaimanapun, seorang warga emas di Kampung Kandek di sini berusaha memperkenalkan semula sangkak namun fungsinya sudah banyak berubah selepas diinovasi pelanggannya.

Iklan
Iklan

Menurut Mohd Noor Jusoh, 77, kebolehan membuat sangkak dipelajari sejak kecil daripada bapanya yang menternak ayam ketika itu.

"Dahulu sangkak dibuat daripada akar kayu sahaja tetapi bertukar kepada buluh kerana kesukaran mendapatkan akar," katanya ketika ditemui di kediamannya di kampung berkenaan.

Iklan

Mohd Noor berkata, membuat sangkak menjadi sumber pendapatan utamanya selepas tidak lagi menoreh getah berikutan faktor usia.

Berkongsi pembuatan sangkaknya, warga emas itu memberitahu, akan masuk ke hutan bersama anak saudaranya kira-kira dua kilometer dari rumah sebulan sekali untuk mencari buluh.

Mohd Noor meraut buluh sebelum dianyam menjadi sangkak.

Iklan

Katanya lagi, ada pelbagai jenis buluh namun yang sesuai ialah buluh bukit kerana lebih lembut dan mudah lentur.

"Biasanya kami akan menebang kira-kira 20 batang buluh sebelum dipotong lebih satu meter dan kesemua buluh itu dapat dihabiskan dalam tempoh sebulan," katanya.

Mohd Noor yang tinggal bersama isteri Noriah Majid, 62, bersyukur kerana sangkaknya muka dikenali selepas anak angkatnya, Mohd Sahli Mat Jusoh, 33, membantu memperkenalkan kepada orang ramai melalui media sosial.

"Fungsi sangkak juga tidak terhad untuk ayam bertelur sahaja tetapi sudah dikomersialkan sebagai tempat letak bunga, terendak lampu dan hiasan gantung di ruang rumah atau bangunan," jelasnya lagi.

Mohd Noor turut memberitahu, cabaran membuat sangkak ialah kesukaran mengambil buluh kerana mungkin jauh di hutan selain keadaan tumbuhan itu yang kering dan sukar dilentur terutama ketika kemarau.

Mohd Noor menyusun sangkak yang ditempah pelanggan.

"Saya juga tidak menyangka kerana generasi kini mengubah fungsi sangkak dan dipermodenkan sebagai perhiasan yang cantik, tidak seperti zaman dahulu hanya menjadi tempat ayam sahaja," katanya.

Sangkak buatan Mohd Noor kini mendapat permintaan tinggi dari seluruh negara termasuk Selangor, Melaka serta Sabah dan dalam sehari warga emas itu dapat menyiapkan lima hingga enam sangkak bergantung pada saiz.

Proses membuat sangkak katanya, bermula dengan memotong buluh dan meraut bagi menghilangkan sembilunya.

"Buluh kemudian dianyam mengikut saiz yang dikehendaki dan biasanya siap dalam tempoh 20 minit untuk satu sangkak," katanya.

Sangkak yang sudah diinovasi menjadi hiasan rumah dan premis.

Sangkak dijual pada harga RM15 bergantung pada saiz dan permintaan pelanggan.

Mohd Noor turut memanfaatkan buluh dengan membuat katil, kerusi dan pangkin yang ternyata memberi sumber pendapatan dan dihargai peminat kraf daripada bahan semula jadi itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!