'Tuntut dahulu, baru dipertimbangan terima royalti'

Iklan
Ahmad Samsuri (tengah) bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Temasya Sukan DAR Terengganu di Kelulut di sini pada Sabtu.

MARANG - Kerajaan Terengganu masih diminta mengemukakan tuntutan berdasarkan program dan juga keperluan kewangan dari semasa ke semasa sebelum dipertimbangkan untuk menerima tunggakan pembayaran wang royalti minyak.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa keadaan itu masih tetap sama meskipun sudah mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Keadaan yang sama iaitu kerajaan (negeri) diminta mengemukakan tuntutan berdasarkan pada program dan keperluan kewangan dari semasa ke semasa. Tuntut (dulu) baru akan dipertimbangkan.

"Sebelum ini ada bertemu dengan Perdana Menteri menerusi mesyuarat-mesyuarat walaupun tiada perbincangan khusus mengenai royalti tetapi saya telah suarakan pada Menteri Kewangan Kedua (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) tentang keperluan semasa yang berlaku setiap bulan.

Iklan

"Apa yang berlaku ialah pertimbangan itu saya dimaklumkan akan dibuat kementerian kewangan setiap bulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Temasya Sukan DAR Terengganu di Kelulut di sini pada Sabtu.

Iklan

Justeru, Ahmad Samsuri menyatakan pihaknya akan terus berusaha menuntut baki pembayaran royalti petroleum atau Wang Ehsan yang dianggarkan mencecah lebih RM1 bilion yang sepatutnya diberikan kepada negeri ini.

Katanya, jumlah tersebut termasuk baki kira-kira RM700 juta yang belum dilunaskan kerajaan Persekutuan bagi tahun 2023 dan bayaran pada tahun ini.

"Masih lagi banyak baki...kalau tak silap saya rasa campur dengan tahun ini, lebih RM1 bilion.

"Saya pun tidak faham alasan kenapa pembayaran itu masih ditahan. Kerajaan negeri tak faham apa sebenarnya alasannya dan itulah keadaan sekarang ini," ujarnya.

Sebelum ini Ahmad Samsuri menyuarakan isu tunggakan royalti petroleum ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam sidang Parlimen pada 5 Mac lalu.

Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, wang royalti atau disebut oleh Kerajaan Persekutuan sebagai Wang Ehsan dan Dana Khas yang diterima sejak sekian lama itu diharap dapat diteruskan tanpa sebarang kelewatan untuk manfaat 1.2 juta rakyat Terengganu.

Isnin lalu, Kerajaan Persekutuan menyatakan untuk kembali berbincang mengenai royalti petroleum negeri itu terutama membabitkan baki bayaran tahun lalu yang belum dilunaskan serta peruntukan untuk tahun akan datang.

Perkara itu dimaklumkan menerusi jawapan daripada Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada sidang Parlimen.

Difahamkan, sehingga Oktober tahun lalu, Kerajaan Persekutuan sepatutnya memulangkan wang royalti yang menjadi hak rakyat negeri Terengganu itu kira-kira RM1.5 bilion.

Bagaimanapun, kerajaan negeri hanya menerima RM510 juta dan ia merupakan bayaran paling rendah diterima berbanding tahun sebelumnya iaitu sejak 2018 hingga 2022.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!