KOTA BHARU - Kelantan masih tetap mengharamkan pengeluaran lesen perniagaan rokok elektronik (vape) dan shisha di negeri ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Hussin berkata, buat masa ini pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini tidak mengeluarkan lesen perniagaan vape dan shisha.
"Kita tidak benarkan (perniagaan). Yang mana menjual tu dia menjual secara haram.
"Cuma peniaga ini dia kadang-kadang bijak. Mereka membuat permohonan untuk perniagaan dan kita luluskan, tetapi menjual benda lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Jamuan Makan Malam Meraikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bersama Ketua Polis Daerah di Hotel Jewels di sini.
Dalam perkembangan sama, Dr Izani berkata, pihaknya juga turut menjalinkan kerjasama dengan polis untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap isu penjualan vape dan shisha di negeri ini.
"Peniaga vape dan shisha ini mereka 'bekeng'. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada polis dan penguat kuasa di atas kerjasama kedua-dua belah pihak.
"Kolaboratif ini akan ditingkatkan. Insya-ALLAH perkara yang buruk tidak akan berlaku sebab fokus kita sangat jelas untuk mengekang sebarang aktiviti berkait dengan gejala sosial sama ada vape, shisa, dadah dan sebagainya,” katanya.
Dr Izani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang berkata, ketetapan yang dibuat oleh kerajaan adalah untuk kebaikan bersama bagi mengelak terlibat dalam perkara boleh mengurangkan produktiviti rakyat.
Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan juga seringkali memberi peringatan terhadap kesalahan larangan menghisap rokok dan vape di tempat awam.
"Kesan kepada orang yang menghisap dan mereka berada di sekitarnya juga kita sudah sedia maklum akan bahayanya menerusi laporan dari dalam serta luar negara. Mengapa kita mahu melawan kenyataan ini?.
"Berdosalah jika ia memberikan kesan mudarat kepada orang lain...Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita kena memberi maklumat yang betul (merbahaya atau tidak) kepada rakyat, yang selebihnya itu pilihan sendiri,” katanya.