RAWANG - Anak-anak di Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan didedahkan dengan dunia digital sebenar yang bukan sekadar menonton YouTube semata-mata.
Pengarah Kemas Selangor, Noor Azman Ab Rahman berkata, program pendigitalan itu akan memberikan penumpuan kepada penguasaan dan kemahiran penggunaaan peralatan itu.
Menurutnya, penguasaan digital dengan cara salah memberikan kesan kepada tumbesaran anak-anak yang mudah terikut-ikut dengan pengaruh luar.
"Keadaan ini menggusarkan kita apabila ada sebahagian anak-anak di sekolah menggunakan bahasa Indonesia.
"Bila cikgu tunjuk arnab, dia tak sebut arnab atau 'rabbit' tetapi kelinci," katanya pada Hari Potensi Kanak-kanak Tabika Kemas Daerah Gombak 2024 di padang Sekolah Menengah Agama Rawang pada Sabtu.
Katanya, situasi itu berlaku disebabkan pengaruh YouTube yang banyak memuat naik kandungan dari negara luar.
"Ini benda betul, sampaikan kita tanya mak ayah orang mana.. Orang Malaysia tapi anak cakap bahasa Indonesia.
"Di rumah, kita (ibu bapa) tak mahu serabut beri telefon buka YouTube untuk mendiamkan anak-anak.
"Justeru kita tak mahu anak-anak mudah terpengaruh, kita akan adakan program digital iaitu anak-anak bukan sekadar tengok YouTube tapi menguasai peralatan digital dan boleh menggunakannya," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!