SHAH ALAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuka sebanyak 16 kertas siasatan terhadap kilang yang menyebabkan pencemaran alam sekitar dalam Operasi Gempur Bersepadu Zon Tengah pada Rabu dan Khamis lalu.
Pengarah JAS Negeri Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, dalam operasi itu juga, pihaknya telah mengambil tindakan tegas terhadap 11 kilang yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.
Menurut beliau, sebanyak 28 tindakan penguatkuasaan telah diambil di bawah perundangan tersebut yang merangkumi 11 Notis Arahan dan satu Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dikenakan ke atas sebuah premis yang didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan dengan pengendalian Sistem Kawalan Pencemar Udara dan Alat Pembakar Bahan Api.
"Operasi itu melibatkan sebanyak 23 pasukan dengan kekuatan 32 anggota penguatkuasa yang terdiri dari gabungan JAS Selangor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, penguatkuasaan dijalankan ke atas lapan sektor industri dan punca pencemar yang berisiko tinggi menyebabkan pencemaran alam sekitar termasuk kilang-kilang yang dilesenkan oleh JAS yang terletak di hulu takat pengambilan air.
Jelas beliau, ops itu juga memfokuskan pemeriksaan kepada 32 premis di dalam Daerah Petaling, Kuala Selangor, Sepang, Gombak, Hulu Langat dan Kajang.
"Keutamaan pemeriksaan juga mengambil kira premis yang berada di dalam Lembangan Sungai Buloh dan Sungai Langat," tambahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!