SHAH ALAM - Rangka dan tulang harimau belang dipercayai dalam proses untuk dijual kepada pembeli berjaya dirampas menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dekat dua lokasi di Rompin, Pahang pada Khamis.
Sindiket yang didalangi warga tempatan ini turut dipercayai melapah daging serta bahagian tulang itu sebelum disimpan serta dijual di pasaran gelap.
Operasi yang dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut berjaya menahan enam suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan hidupan liar itu.
Harimau Malaya atau harimau belang (panthera tigris jacksonii) ini dikatakan boleh mencecah sehingga RM300,000 di pasaran gelap.
Ia meliputi seluruh anggota badan termasuk tulang, kulit, daging, kuku dan misai yang kononnya boleh dijadikan ubat.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, dua serbuan itu dijalankan antara jam 6 petang hingga 8 malam itu di kawasan tempat letak kenderaan sebuah premis dan sebuah rumah.
"Antara individu ditahan melibatkan dua lelaki tempatan dipercayai bertanggungjawab mencari pembeli bagi urusan penjualan hidupan liar berkenaan.
"Selain itu turut ditahan tiga lelaki Orang Asli dipercayai terbabit dalam membantu aktiviti penjualan hidupan liar serta seorang lelaki tempatan dipercayai menyembunyikan rangka tulang harimau terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya, keseluruhan rampasan yang dijalankan ketika operasi berkenaan dianggarkan bernilai lebih RM228,000.
"Antara yang dirampas adalah beg berisi rangka kepala harimau belang selain sebuah lagi beg mengandungi tulang-tulang.
"Selain itu, turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Saga dipercayai digunakan membawa bahagian hidupan liar dilindungi yang mahu dijual kepada sindiket serta beberapa telefon pintar," katanya.
Menurutnya, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010/ Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022.
Tegasnya, mereka yang terlibat dalam jenayah itu disifatkan sebagai individu tamak yang secara tidak langsung menurunkan bilangan hidupan liar itu di hutan.
"Kita akan meneruskan penguatkuasaan membanteras sebarang bentuk jenayah hidupan liar dan mempertahankan spesies hidupan liar di Malaysia.
"Mana-mana individu atau pihak yang menjalankan aktiviti pemburuan haram spesies ini atau jenayah hidupan liar lain agar menghentikan serta-merta aktiviti terbabit," katanya.
Katanya, orang ramai boleh melaporkan sebarang jenayah berkaitan hidupan liar ke talian Hotline Jabatan Perhilitan di 1800-88-5151 atau e-aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my.
Perhilitan sebelum ini pernah merekodkan kes penjualan anak harimau hidup dengan harga sekitar RM3,000 hingga RM5,000.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!