KONTINJEN negara terus mengekalkan momentum positif pemburuan pingat hari ketiga temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024 apabila menambah dua lagi pingat emas pada Jumaat.
Di Kolam Renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI), kem renang menyalakan misi pemburuan 35 pingat bermula dengan kudrat perenang Bryan Leong Xin Ren mengungguli final 100 meter (m) kupu-kupu lelaki dengan catatan masa 54.22 saat (s).
Bryan menyisihkan cabaran perenang Singapura Ong Jung Yi (54.93s) dan perenang tuan rumah, Joe Aditya Wijaya Kurniawan (55.16s).
"Sejujurnya keadaan saya bukan berada pada tahap terbaik sebab masih demam, sekarang pun masih sakit, kepala pening, saya hanya fikir mahu habiskan perlumbaan, catatan masa pun bukan yang terbaik tapi gembira masih dapat emas untuk Malaysia.
"Malam tadi (Khamis), saya minum air banyak, dan dapatkan rehat cukup, saya masih rasa sakit tapi pasukan minta saya buat terbaik, saya cuba sehabis baik," kata Bryan kepada pemberita selepas perlumbaan.
Hii Puong Wei kemudian membarakan pemburuan apabila merangkul pingat emas dalam acara 200m kuak dada lelaki dengan catatan masa 2:20.08s, diikuti perenang Thailand, Janruksa Thanoichai (21:21.5s) dan wakil Indonesia, Andi Muhammad Nurrizka Febrianto (2:21.34s).
Perenang wanita, Phee Jinq En juga menjelmakan pingat perak dalam acara 200m kuak dada (2:33.89s) di belakang Adellia yang meraih emas (2:33.81s) dan perenang Indonesia, Azzahra Permatahani (2:36.46s) untuk gangsa.
Skuad wanita acara 4x100 gaya bebas dibarisi Wong Shi Qi, Georgene We Jee Ern, Ng Zi Syuen dan Chu Xin Ying juga membutirkan gangsa (4:06.85s).
Di Pusat Konvensyen Airlangga, Universitas Airlangga, atlet Universiti Kebangsaan (UKM), Siti Roha Miszuraini menghadiahkan pingat perak selepas menumbangkan pesaing dari Indonesia, Ike Faradiba Nurjannah dalam Kategori Atas 78 kilogram.
Misi meraih emas Siti Roha sebelum itu disekat kejaguhan atlet Indonesia, Indah Permatasari pada pusingan pertama.
Skuad catur turut menyumbang dua pingat gangsa dalam acara rapid wanita menerusi sentuhan S Nithyalakshimi selain acara rapid berpasukan dibarisi Nithyalakshimi, Chua Jia Tien, Puteri Rifqah Fahafa Azhar serta Puteri Munajjah Az-Zahraa Azhar.
Skuad bola keranjang 3x3 negara lelaki serta wanita juga tidak mengecewakan apabila menyumbang pingat perak dan gangsa kali ini.
INFO
AUG Surabaya-Malang 2024
HARI KETIGA
2 emas | 5 perak | 6 gangsa
JUMLAH KESELURUHAN PINGAT
10 emas | 9 perak | 15 gangsa
Pingat Emas
BRYAN LEONG XIN REN
King’s College London
Akuatik Renang (100m kuak kupu-kupu lelaki)
HII PUONG WEI
Asia Pacific University (APU)
Akuatik Renang (200m kuak dada lelaki)
Pingat Perak
LYE LIK ZANG
Sunway University
Catur (Rapid Lelaki)
LYE LIK ZANG/ MUKHRIEZ SHAH MAHMOOD SHAH/ FAHMAN ARASH AYUB/ ESHWANT SINGH
Catur (Rapid Berpasukan Lelaki)
SITI ROHA MISZURAINI
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Judo (Kategori Atas 78kg wanita)
PHEE JINQ EN
Taylor’s University
Akuatik Renang (200m kuak dada wanita)
Bola keranjang 3x3
Pasukan Lelaki
Pingat gangsa
S NITHYALAKSHMI
University Putra Malaysia (UPM)
Catur (Rapid Wanita)
S NITHYALAKSHMI/ CHUA JIAN-TIEN/ PUTERI MUNAJJAH AZ-ZAHRAA AZHAR/ PUTERI RIFQAH FAHADA AZHAR
Catur (Rapid Berpasukan Wanita)
WONG SHI QI/ WEE JEE ERN, GEORGENE/ NG ZI SYUEN/ CHU XIN YING
Akuatik Renang (4x100m 4x100 gaya bebas wanita)
MUHAMMAD MUQRI ARIF MUHAMMAD SAPINY/ MUHAMMAD FAKHRUL HADI AZLEY/ SYED AFIQ FAKHRI SYED ALI
Petanque (Triple Lelaki)
NUR NISA NADHIRAH MOHD TIRMEEZY/ NUR ASYIKIN ROSLAN/ SHARIFAH AFIQAH FARZANA SYED ALI
Petanque (Triple Wanita)
Bola keranjang 3x3
Pasukan Wanita