Kerajaan sasar semua Tabika Kemas laksana program pra tahfiz menjelang 2030

Iklan
Ahmad Zahid

LIPIS - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan melaksanakan Program Tabika Pra Tahfiz menjelang 2030.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, program itu yang bertujuan memperkasa pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak akan menggunakan modul Yayasan Pahang, Yayasan Pendidikan Tun Abdul Razak (Pintar) dan Kemas.

Iklan
Iklan

"Saya persembahkan (cadangan tersebut) kepada Sultan Pahang (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) yang ketika itu Yang di-Pertuan Agong, Tuanku telah menyarankan pra tahfiz Kemas yang dilaksanakan oleh Yayasan Pahang dapat digunakan oleh Kemas.

"Mudah-mudahan ini (tabika Kemas program pra tahfiz) akan dapat dilaksanakan. Bagi kaedah (mereka) yang bukan Islam, ada kaedah lain untuk anak-anak ini. Namun, untuk ini, saya fikir anak-anak orang Islam khususnya desa dan luar bandar, sangat memerlukan pengajaran ini, kita akan teruskan,” katanya.

Iklan

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Program Sembang Santai Bersama Komuniti Daerah Lipis di Dewan Residen, Kuala Lipis, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, kerajaan akan menjalinkan kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk mengajar guru-guru yang tidak ada latar belakang pendidikan agama untuk mengajar al-Quran dan agama Islam.

Iklan

"Ertinya, kita melakukan usaha serampang dua mata iaitu untuk mengajar, pengajar mesti tahu kerana ilmu ialah tentang bagaimana input ilmu itu diberikan. Oleh sebab itu, guru-guru Kemas ini kita lakukan latihan yang begitu iaitu kerjasama menerusi Yayasan Pahang, Yayasan Pintar, UPSI dan melalui modul Kemas.

"Saya juga akan mengusahakan guru Kemas N29 dan kategori yang lain, kita tahulah nak minta dengan tidak mendesak tetapi memujuk supaya guru Kemas diambil kepedulian dari segi skim gaji oleh kerajaan," katanya.

Ahmad Zahid berkata, pendidikan agama Islam yang betul mengikut al-Quran penting memandangkan banyak kelas taska atau tadika yang telah menyeleweng daripada asas pendidikan prasekolah yang disuntik dengan doktrin pemikiran ketaasuban.

"Maka, kita mesti mencari jalan supaya tidak berlaku penyelewengan dari segi pedagogi pendidikan atau kaedah pengajaran supaya pengajaran agama Islam dan pengajaran al-Quran itu mesti mengikut apa yang ada di dalam pengajaran kita.

"Sumber hukum berkenaan, yang pertama, pengajaran mesti yang ada di dalam al-Quran, kedua apa yang ada dalam hadith dan ketiga qias dan keempat ijmak ulamak.

"Oleh itu, kerajaan menerusi KKDW dan Kemas mencari jalan supaya pendidikan Islam khususnya untuk anak-anak prasekolah dapat diajar dengan kaedah yang benar iaitu menerusi Yayasan Pahang dan yayasan Pintar," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!