Kerajaan belum buat keputusan mansuh subsidi petrol - PM

Iklan
Anwar

GEORGE TOWN - Kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai pemansuhan subsidi petrol seperti yang dikatakan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan kini sedang menumpukan pelaksanaan pemansuhan subsidi diesel sama ada perlaksanaan tersebut berkesan atau sebaliknya.

Iklan
Iklan

"Saya baca teks Rafizi, dia kata kita tumpu soal diesel. Yang perlu kita teliti sama ada pelaksanaan itu berkesan, dan jika ada kalangan yang rasa terjejas, harus kemukakan.

"Saya tengok dalam konteks itu yang dia tekankan. Yang lain-lain, belum ada keputusan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Menara Hasil Pulau Pinang di sini, pada Sabtu.

Iklan

Pada Khamis, Rafizi dengan nada berseloroh berkata, Putrajaya akan meneruskan rancangan mengumumkan langkah sama (pemansuhan subsidi pukal diesel) untuk minyak RON95.

Bercakap dengan pemberita di acara Forum Ekonomi Dunia di Dalian, China, beliau berkata demikian ketika ditanya jika langkah itu akan dilaksanakan pada tahun ini, dan pengumuman awal akan dibuat.

Iklan

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh pengumuman itu.

Rafizi juga tertawa apabila ditanya sama ada kerajaan akan meneruskan rancangannya untuk menghapuskan subsidi minyak, dan bagaimana ia akan memberi kesan terhadap inflasi susulan kenaikan harga barang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!