KKM keluarkan perincian semakan semula SOP Covid-19

Iklan
Dr Dzulkefly bercakap kepada pemberita semasa sidang media pada majlis pelancaran Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia 2024 di Aeon Mall pada Sabtu. Foto Bernama

NILAI - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan perincian semakan semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 dalam waktu terdekat berikutan negara telah beralih ke fasa hidup bersama pandemik itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia merangkumi tiga perkara iaitu perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO), pemakaian pelitup muka dan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Kabinet telah bersetuju berhubung semakan SOP Covid-19 dan Ketua Pengarah Kesihatan dijangka mengumumkan perkara berkenaan pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

"Butiran (SOP) itu adalah teknikal. Sebagai contoh, dahulu HSO lima hari berada di rumah (positif Covid-19) dan perlu kemas kini gejala dalam MySejahtera. Apabila semakan semula (SOP) nanti, ia mungkin berubah. Kita tunggu perincian daripada ketua pengarah nanti.

Iklan

"Dengan cara itu, ia adalah satu era bermulanya kita menganggap Covid-19 seperti virus lain. Dulu kita beranjak dari transisi pandemik ke endemik. Sekarang kita mahu keluar daripada transisi endemik kepada hidup dengan virus,” katanya.

Dr Dzulkefly (kanan) beramah mesra bersama rakan Komuniti Perkasa Negara (Kospen) pada majlis pelancaran Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia 2024 di Aeon Mall pada Sabtu. Foto Bernama

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Kementerian Kesihatan 2024 bertemakan ‘Ubah Minda, Cegah Penyakit Berkaitan Pemakanan’ di sini pada Sabtu.

Iklan

Dr Dzulkefly sebelum ini dilaporkan berkata, KKM memutuskan rakyat Malaysia kini dalam fasa hidup bersama virus Covid-19 dan ke arah meneruskan kehidupan seperti biasa.

Mengenai program hari ini, beliau berkata, ia bertujuan mengubah minda dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengamalkan pemakanan sihat bagi mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) berkaitan pemakanan.

Beliau berkata, ini kerana prevalen semasa NCD di negara ini sangat membimbangkan dengan hasil tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan prevalen obesiti dan berat badan berlebihan meningkat kepada 54.5 peratus tahun lepas berbanding 50.1 peratus pada 2019.

"Secara konsisten untuk sedekad lepas, bagi setiap dua rakyat Malaysia dewasa, seorang mengalami berat badan berlebihan manakala satu daripada enam rakyat dewasa menghidap diabetes menunjukkan lebih separuh dewasa terdedah kepada risiko mendapat NCD akibat obesiti tidak terkawal,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, KKM juga merangka Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia (2024-2030) bagi memastikan aktiviti yang lebih agresif dan bersasar dapat dilaksanakan secara bersepadu di pelbagai peringkat.

"Ia bagi menangani pengambilan gula secara berlebihan melalui perancangan inisiatif Perang Terhadap Gula yang akan dilancarkan dalam waktu terdekat,” katanya.

Justeru, beliau menyeru wakil rakyat untuk bersama-sama menjadikan Perang Terhadap Gula itu sebagai antara aktiviti atau program yang perlu dijalankan di kawasan masing-masing selari dengan pendekatan seluruh negara. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!