Didik masyarakat trend terkini pengurusan sisa pepejal

Iklan
Norazlina (depan, kanan) memotong riben belon sebagai simbolik perasmian semasa Enviro Hunt sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2024 di WLP Air Hitam, Puchong di sini pada Sabtu.

SHAH ALAM - Konglomerat Selangor, Worldwide Holdings Berhad (WHB) menerusi Bahagian Alam Sekitarnya, Worldwide Environment menganjurkan Enviro Hunt sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2024 pada Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WHB, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, program yang diadakan di Taman Rekreasi Worldwide Landfills (WLP) di Air Hitam, Puchong itu bertujuan mendidik peserta tentang trend dan inovasi terkini dalam pengurusan sisa pepejal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, aktiviti sihat itu juga secara tidak langsung menggalakkan aktiviti riadah di WLP yang telah diselenggara dan merupakan antara projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) terkemuka WHB dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor.

"Projek pemulihan tapak pelupusan sisa yang pertama di Malaysia ini telah disempurnakan pada 2010 dan telah menaiktaraf Tapak Pelupusan Sanitari Air Hitam, tapak pelupusan kejuruteraan (engineered landfill) pertama negara menjadi sebuah taman rekreasi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Norazlina memberitahu, projek itu juga telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records pada tahun 2011 sebagai tapak pertama di Malaysia yang dilengkapi dengan loji janakuasa yang menjana tenaga daripada sisa pepejal.

"Sehingga kini, aktiviti rawatan masih diteruskan di WLP oleh WHB khususnya untuk komponen larut lesap dan gas tapak pelupusan bagi memastikan jangka hayat dan kelestarian tapak serta persekitarannya," ujar beliau.

Iklan

Mengulas mengenai program itu, Norazlina menzahirkan penghargaan atas penyertaan dan sokongan daripada semua peserta terlibat.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua peserta, yang merupakan pihak-pihak berkepentingan kami, khususnya pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan, komuniti dan media," jelas beliau.

Beliau memberitahu, WHB telah menerajui sektor pengurusan alam sekitar di Selangor selama lebih 30 tahun dan inisiatif itu mengukuhkan aspirasi bagi mempromosikan gaya hidup yang lebih hijau dan sihat dalam kalangan komuniti.

"Kami teruja dengan sambutan yang menggalakkan terhadap Enviro Hunt ini bukan sahaja bukti komitmen kami terhadap penjagaan alam sekitar tetapi juga menekankan kepentingan prinsip ESG dalam operasi kami," tambah Norazlina.

Program Enviro Hunt itu menyaksikan penyertaan kira-kira 200 wakil daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi-agensi kerajaan negeri Selangor dan Persekutuan berkaitan, masyarakat sekitar serta media.

Sebanyak dua kategori pertandingan iaitu terbuka dan kakitangan dengan menyaksikan peserta bersaing melalui beberapa 'check point' dalam WLP yang dilengkapi trek joging sepanjang lima kilometer, trek basikal dan taman permainan.

Peserta juga perlu menyelesaikan pelbagai tugasan bertemakan alam sekitar yang memberi kesedaran tentang kepentingan kelestarian dan amalan terbaik dalam pengurusan sisa pepejal.

Kaunter kitar semula turut disediakan di sepanjang program selain peserta serta komuniti berhampiran boleh membawa pelbagai jenis sisa kitar semula dan menukarnya dengan wang tunai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!