CRISTIANO Ronaldo 'hidup untuk gol' dan prestasinya akan kembali ke asal tidak lama lagi selepas kempen mengecewakannya bersama Portugal dalam EURO 2024 setakat ini, kata rakan sepasukan veteran, Pepe.
Pemilik lima Ballon d'Or itu masih belum menemui jaringan dalam edisi ini selain gagal menyumbangkan sebarang gol dalam tiga perlawanan Kumpulan F tatkala pasukan bimbingan Roberto Martinez itu menerajui peringkat kumpulan.
Ronaldo belum menemui sebarang sentuhan pemusnah dalam mana-mana tujuh penampilan terakhirnya bersama Portugal dalam kejohanan utama, sekali gus mengharungi kemarau jaringan terpanjangnya dalam Euro dan Piala Dunia.
Pemain berusia 39 tahun itu telah mengumpul 19 jaringan dalam kedua-dua pertandingan berprestij itu sejak kali terakhir golnya menghukum Ghana dalam Piala Dunia 2022.
Bagaimanapun, Pepe -- bercakap menjelang pertemuan 16 dengan Slovenia awal pagi Rabu depan -- percaya rakan sepasukannya itu akan kembali menemui sentuhan berbisa tidak lama lagi.
"Cristiano hidup untuk gol, itulah hakikatnya,” kata pertahanan itu dalam sidang media.
"Tetapi adakah anda melihat sumbangannya di atas padang untuk membantu pasukan kebangsaan? Ia luar biasa.
"Dia pemain yang paling banyak minit permainan dalam pasukan kami, pada usia 39 tahun.
"Dia beraksi dengan sangat baik. Dia akan bermain dengan sangat baik dalam pusingan kalah mati EURO. Saya pasti dia mampu menghadiahkan kegembiraan besar buat kami." - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!