Selepas panas melampau, New Delhi dilanda hujan lebat luar biasa

Iklan
Lebuh raya Delhi-Jaipur turut banjir selepas hujan lebat tanpa henti tersebut pada Jumaat. Foto AFP

NEW DELHI - Penduduk di ibu kota India berdepan hujan lebat luar biasa selepas mengalami gelombang haba ekstrem pada awal bulan lalu.

Cuaca buruk disebabkan fenomena perubahan iklim itu turut mengakibatkan bumbung lapangan terbang runtuh, penutupan operasi stesen metro dan laluan bawah tanah serta kesesakan lalu lintas, sekali gus menjadikan situasi huru-hara selepas bandar tersebut dicengkam suhu panas melampau selama beberapa minggu.

Iklan
Iklan

Jabatan Meteorologi India (IMD) mengesahkan New Delhi menerima taburan hujan 228.1 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam sehingga Jumaat bersamaan 266 peratus daripada paras normal.

Data IMD menunjukkan ibu kota berpopulasi 20 juta penduduk itu tidak mengalami keadaan seperti itu sejak 15 tahun lalu.

Iklan

"Dalam tempoh tiga jam, kawasan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Delhi merekodkan 148.5mm taburan hujan berbanding 101.7mm untuk tempoh sepanjang bulan Jun pada 2023,” jelas laporan itu lagi.

Sebelum ini, suhu pada musim panas mencecah hampir 50 darjah Celsius di ibu kota tersebut dan ia mencatatkan suhu lebih 40 darjah Celsius selama 40 hari berturut-turut sehingga 22 Jun lalu.

Iklan

Vishwas Chitale di Majlis Tenaga, Air dan Alam Sekitar berkata, Delhi telah mengalami corak monsun tidak menentu sejak lebih empat dekad lalu yang turut menyaksikan hujan lebat luar biasa.

Pakar berpendapat pemerintah perlu menggali lebih banyak tasik dan kolam untuk menakung air hujan bagi mengatasi masalah kekurangan air di Delhi dan Bengaluru.

Sementara itu, majlis perbandaran disarankan mengambil langkah bagi memastikan saliran dan terusan tidak tersumbat bagi mengelakkan kejadian banjir kilat serta gangguan perkhidmatan lain. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!