Pelepasan ikan asing: Jabatan Perikanan Selangor pantau Tasik Biru

Iklan
Jabatan Perikanan Selangor menjalankan pemantauan berterusan di Tasik Biru, Kundang susulan pelepasan ikan patin spesies Chao Praya (Pangasius sanitwongsei) menerusi program memancing baru-baru ini.

SHAH ALAM - Jabatan Perikanan (DOF) Selangor menjalankan pemantauan berterusan di Tasik Biru, Kundang susulan pelepasan ikan patin spesies Chao Praya (Pangasius sanitwongsei) menerusi program memancing baru-baru ini.

Pengarahnya, Noraisyah Abu Bakar berkata, rondaan secara berkala dilakukan sepanjang hari untuk memantau aktiviti di tasik berkenaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sampel ikan yang ditangkap oleh pemancing diperiksa untuk mengesan kehadiran ikan asing dan identifikasi spesies tersebut serta bagi tujuan rekod.

"Menerusi langkah itu, kakitangan DOF turut menjalankan kempen kesedaran mengenai bahaya pelepasan ikan asing kepada perairan umum.

Iklan

"DOF berhasrat memanggil pihak penganjur terlibat bagi sesi taklimat khas selain diminta bekerjasama dengan pihak jabatan bagi pelaksanaan program inventori perikanan kelak," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya, siasatan mendapati pihak penganjur terlibat telah mengambil tindakan memasang pagar dan jaring di pintu air tasik berkenaan.

Iklan

"Langkah ini diambil bertujuan menghalang ikan asing daripada terlepas ke perairan umum.

"Pemasangan ini seterusnya diperiksa secara berkala untuk memastikan keberkesanannya serta tiada kebocoran," katanya.

Menurutnya, umum mengetahui bahawa ikan asing telah menyebabkan populasi ikan asli di perairan tempatan merosot, seterusnya mengganggu kesihatan ekosistem sungai dan habitat ikan asli.

"Ini bermaksud, ikan asing boleh menjejaskan aktiviti perikanan setempat, merosakkan ekosistem sungai dan dikhuatiri membawa penyakit dari luar kepada ikan asli di kawasan berkenaan.

"DOF memberi peringatan agar pihak yang berhasrat melepaskan ikan ke perairan umum diminta mendapatkan khidmat nasihat Pejabat Perikanan Daerah terdekat," katanya.

Tambahnya, DOF juga secara aktif membuat program pelepasan ikan asli bagi mengurangkan kesan negatif kehadiran spesies ikan asing.

"Antaranya melibatkan pelepasan ikan seperti lampam sungai (Barbonymus schwanenfeldii), baung (Mystus nemurus), udang galah (Macrobrachium rosenbergii), sebarau (Hampala macrolepidota), kelah (Tor tambroides), terbol (Osteochilus vittatus) dan sebagainya.

"Selain itu, DOF turut giat menyalurkan maklumat melalui pelbagai platform media bagi memastikan matlamat dan usaha dalam memulihara sumber perikanan mendapat sokongan semua lapisan masyarakat," katanya.

Sebelum itu, tular hantaran di Facebook pada Rabu lalu menunjukkan terdapat pihak melepaskan ikan asing tersebut bagi aktiviti memancing pada 29 Jun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!