KUANTAN- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang mencatatkan hasil jualan produk pertanian sebanyak RM2 juta tahun lalu menerusi Program Motosikal Tiga Roda (M3R) yang disertai 58 usahawan tani atau peraih di kawasan luar bandar.
Pengarahnya, Noh Nik Wan berkata, hasil pungutan sebanyak itu jelas membuktikan program M3R mampu membantu usahawan di kampung memasarkan produk tani secara terus kepada penduduk di kawasan mereka.
"Kita lihat program ini (M3R) amat berkesan dalam membantu peraih menambah pendapatan dengan menjual produk tani kepada penduduk setempat dan seterusnya di pasarkan ke pusat-pusat jualan.
"Jadi, kita akan meneruskan program yang sama pada masa akan datang khususnya membantu peraih untuk terus menjana pendapatan mereka," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan dan akujanji intensif M3R di FAMA Pahang, hari ini.
Tiga penerima di daerah Kuantan iaitu Awis Qarnie Solleh,28, Ainatul Mardhiah Mohd Yasin, 30 dan Sapri Subani,71, menerima M3R bagi tujuan memasarkan produk mereka di Kampung Pandan, Sungai Soi dan Sungai Isap.
Noh berkata, urusniaga yang dijalankan hendaklah memberi tumpuan kepada barangan keperluan utama yang disyaratkan.
"Kita tidak membenarkan jualan ternakan hidup kecuali ayam kampung, itik dan ikan air tawar. Lembu dan kambing boleh dijual tetapi dalam bilangan yang kecil.
"Mereka hanya perlu menjual produk halal dan memasarkan barangan yang dijual lebih rendah daripada harga pasaran biasa,"katanya.
Sementara itu, Awis Qarnie berkata, dia bertuah kerana terpilih sebagai penerima program M3R.
"Ini akan memudahkan saya untuk memasarkan hasil tani seperti kangkung, bayam, sawi dan beberapa produk makanan ke sekitar kedai berhampiran.
"Selain itu, saya juga dapat menghantar terus setiap pesanan pelanggan ke rumah menggunakan motosikal ini," katanya.