Perlis, Kedah rintis tanaman padi hybrid empat kali setahun

Iklan
Projek perintis penanaman padi hybrid empat kali setahun akan dimulakan di Perlis dan Kedah dalam tempoh terdekat. Gambar hiasan

ALOR SETAR - Projek perintis penanaman padi hybrid empat kali setahun akan dimulakan di Perlis dan Kedah dalam tempoh terdekat.

Projek berkenaan dijayakan oleh sebuah syarikat tempatan, Koyan Utama Sdn Bhd (KUSB) bersama sebuah syarikat dari China.

Iklan
Iklan

Pengerusi KUSB, Dr Ammar Hassan berkata, KUSB telah memajukan pelan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan penanaman padi empat kali setahun kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan baru-baru ini.

"Salah satu universiti tempatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah bersetuju melaksanakan projek perintis R&D bagi melaksanakan tanaman padi empat kali setahun,” katanya di sini pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, diadakan majlis perjanjian persefahaman (Mou) antara Koyan Utama Sdn Bhd (KUSB) dan Winall Hi-Tech Seed Co Ltd, China berkaitan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) penanaman padi hybrid empat kali setahun serta promosi pelbagai benih tanaman, disaksikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, di ibu negara.

Ammar (kiri) dan Jiang Sangiao (kanan) bersama Tengku Zafrul usai majlis menandatangani MoU di ibu negara.

Majlis tandatangani MoU diwakili Ammar yang juga merupakan Pengarah KUSB dengan Naib Presiden Winall Hi-Tech Seed Co Ltd, China, Jiang Sangiao pada 20 Jun lalu.

Iklan

Ammar memaklumkan, program perintis tersebut akan dilaksanakan di kawasan padi kelolaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Perlis dan Kedah.

"Menerusi kerjasama ini, KUSB dan Winall Hi Tech Seed Co Ltd akan wujudkan projek ini di Perlis dan Kedah, sementara UKM dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) uruskan pemeriksaan R&D yang dijalankan.

"Mengikut perancangan, projek perintis ini akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan akan datang,” ujarnya.

Menurutnya, berdasarkan kajian, pelaksanaan projek tersebut mampu menghasilkan padi antara lapan hingga 10 tan sehektar, seterusnya meningkatkan keluaran padi dalam negara selain menambah pendapatan pesawah.

"UKM dan MARDI akan meneliti dan memantau pelaksanaan projek yang berdaya maju ini. Sekiranya mendapat kerjasama agensi kerajaan dalam jangka masa panjang, tidak mustahil Malaysia kelak mampu mengeksport beras ke luar negara.

"Perlis adalah lokasi paling sesuai berikutan memiliki cuaca, tanah pamah serta kemudahan sedia ada untuk tanaman padi hybrid,” ujarnya.

Ammar percaya, kerjasama ini juga akan membolehkan misi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjadikan Perlis sebagai pusat pengeluaran benih tercapai.

"Sebenarnya MoU ini bukan sahaja untuk melaksanakan projek perintis tanaman padi tetapi juga meliputi pelbagai benih mengikut kesesuaian pasaran tempatan dan luar negara.

"R&D juga akan dilakukan di luar kawasan MADA yang kekurangan air.

"Selepas projek perintis ini, kita cadangkan diperluaskan ke Perak, Selangor, Pahang, Sabah dan Sarawak agar R&D yang dijalankan lebih praktikal dan menyeluruh mengikut kesesuaian tanah, cuaca dan lain-lain kemudahan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ammar mengalu-alukan individu atau organisasi yang memiliki tanah sawah untuk menjalin kerjasama dengan KUSB dalam pelaksanaan projek tersebut.

"Saya harap generasi muda dan lepasan siswazah menyahut cabaran untuk terokai tanaman padi empat kali setahun, menggunakan teknologi moden agar perolehan padi bertambah dan beri pendapatan lebih tinggi.

"Kita juga akan adakan kerjasama dengan universiti tempatan agar lepasan siswazah mendapat latihan formal dan sijil kursus latihan penanaman padi empat kali setahun, ia berpotensi untuk melahirkan lebih ramai petani moden,” jelasnya lagi.

Sementara Pengarah Urusan KUSB, William Law memaklumkan, pelaburan bagi menjayakan projek ini dianggarkan mencecah RM200 juta, merangkumi pelbagai lokasi termasuk Pusat Benih di Perlis serta program latihan kepada lepasan siswazah dan generasi muda.

"Program ini juga dijangka dapat menawarkan 10,000 peluang pekerjaan kelak. Kami harap program seumpama ini dapat menyumbang kepada sekuriti makanan negara selain menggiatkan program penanaman petani moden,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!