[VIDEO] Kos sara hidup isu global, kerajaan berusaha tangani - Rafizi

Iklan

SUNGAI BAKAP - Kerajaan Perpaduan sentiasa berusaha untuk menangani kos sara hidup melalui beberapa kaedah, antaranya memberi tumpuan kepada soal gaji dan mengawal kadar inflasi agar harga barang tidak meningkat.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, isu itu bukan sahaja di hadapi di negara ini, sebaliknya ia merupakan isu global dan memerlukan masa untuk difahami oleh seluruh rakyat.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau percaya pada akhirnya rakyat akan menghargai tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Persekutuan pada hari ini bahawa negara berada pada landasan yang betul untuk menangani cabaran kos sara hidup.

"Fokus Kerajaan Madani (kini) kepada kenaikan gaji di peringkat kakitangan awam yang diumumkan oleh Perdana Menteri, akan datang di peringkat swasta. Kita telah memulakan projek rintis gaji progresif yang akan diskalakan lagi dalam tahun-tahun akan datang.

Iklan

"Jadi memang sebenarnya secara ilmiah, saya ingat semua rakyat sedia maklum kos sara hidup ini adalah satu perkara global yang perlu ditangani tetapi sehinggalah dasar-dasar (kerajaan) ini mula mendatangkan kesan kepada poket rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Gerakan Utama Pakatan Harapan semasa turun meninjau kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, di sini pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama, calon Pakatan Harapan bagi kerusi N20 PRK DUN Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin.

Rafizi (tiga dari kiri) semasa turun meninjau kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada Sabtu.

Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, beberapa perkara pokok sedang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membina keupayaan dan mengalihkan sumber negara untuk menambah pendapatan rakyat.

"Isu kos sara hidup ini juga turut berlaku di negara besar dan maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan China.

"Fenomena (kos sara hidup berlaku) selepas Covid. Dunia masih lagi mencari rentak untuk mengimbangkan kesan-kesan kepada ekonomi selepas Covid,”ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai masalah lalat yang telah menghantui penduduk Sungai Bakap sejak sekian lama, Rafizi berkata, perkara tersebut perlu diberikan perhatian oleh kerajaan Pulau Pinang.

Menurutnya, Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol diminta memberikan perhatian serius kepada masalah lalat yang telah menjejaskan kehidupan harian penduduk.

"Exco Fahmi Zainol memang telah diberikan tugas untuk menyelesaikan masalah lalat. Jadi selepas ini saya jumpa dia tanya pasal lalat, selagi tidak selesai masalah ini, saya akan kejar beliau sehingga selesai masalah ini,” katanya lagi.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.