'Masalah air bukan berlaku di Nibong Tebal sahaja' - PM

Iklan
Anwar berucap pada Karnival Tekun MADANI Pulau Pinang di Dewan SP Arena Seberang Jaya pada Sabtu. Foto Bernama

SEBERANG JAYA - Masalah bekalan air bukan hanya berlaku di Nibong Tebal termasuk Sungai Bakap sahaja tetapi beberapa negeri lain turut berdepan dengan isu yang sama.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak mengabaikan tanggungjawab dalam mengatasi masalah itu dan giat berusaha mencari penyelesaian tanpa mengira fahaman politik.

Iklan
Iklan

"Namun kita (kerajaan) cuba selesaikan. Dalam pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan (Datuk Nassuruddin Daud) dan beliau maklumkan pam (sekarang) tidak cukup tinggi (untuk sedut air), maka saya arahkan beli segera pam (baharu).

"Ini bukan soal politik tetapi ini soal rakyat," katanya ketika berucap pada Karnival Tekun Madani di SP Arena Seberang Jaya, di sini, pada Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Perak bagi membantu menyalurkan air di bahagian Utara Perak dan Seberang Perai Selatan.

"Di Pulau Pinang ini airnya tidak cukup...di Sungai Pinang tak ada, air laut tak boleh minum, Jadi kita berikhtiar dan cari penyelesaian.

Iklan

"Saya telah bertemu dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah kemudian jumpa Menteri Besar Perak (Datuk Seri Saarani Mohamad) lalu Perak telah bersetuju membekalkan air kepada Pulau Pinang melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) ke Seberang Perai dengan peruntukan sebanyak RM4 bilion,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengakui Pulau Pinang sedang berdepan cabaran air di beberapa kawasan tertentu, namun pada keseluruhannya beliau berkata, pembekalan air masih terjamin keselamatannya.

"Kita akui di Pulau Pinang (berdepan masalah air) disebabkan peningkatan ekonomi industri dalam beberapa tahun ini, kita memang menghadapi cabaran pembekalan yang mencukupi setiap masa.

"Ini kerana permintaan sudah meningkat dengan mendadak, lagi pun kita ada kadar tarif yang paling rendah dan kadar penggunaan yang paling tinggi dalam negara...jadi kita perlu memahami cabaran ini," katanya.

Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sudah pun melaksanakan lapan projek untuk memastikan bekalan air dapat dipulihkan di semua kawasan yang terkesan termasuk di sebahagian Sungai Bakap menjelang 2028.