JOHOR BAHRU - Polis akan menjalankan siasatan terhadap pemilik dan pengendali akaun Facebook kelab penyokong sebuah parti politik berhubung hantaran berbaur hasutan terhadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M Kumar berkata, siasatan dibuat susulan laporan polis yang diterima di Balai Polis Bandar Penawar, Kota Tinggi sekitar jam 4.05 petang, pada Sabtu.
"Laporan polis berhubung hantaran oleh pengendali dan pemilik akaun Facebook terbabit yang mengaitkan Tunku Mahkota Ismail dalam tuduhan rasuah terhadap individu dipercayai Mohamad Zamri Zainul Abidin dengan kenyataan -"TMJ mengatakan Pengarah AMLA SPRM- Zamri meminta rasuah RM20 juta daripada Qatar Holdings.-28 Januari 2023"
"Hantaran dengan tajuk TMJ sudah bersuara takkan PMX masih senyap," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Aktab Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform tersebut dengan menyalahi undang-undang.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa juga keadaan, sama ada membuat hantaran, menularkan, berkongsi maklumat berbaur hasutan, fitnah atau palsu sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan negara," ujarnya.
Pada Sabtu, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam kenyataan menyifatkan fitnah terhadap Tunku Mahkota Ismail kononnya baginda terbabit rasuah RM20 juta, disifatkan sebagai hasutan jahat dalam cubaan menjatuhkan institusi diraja.
Tegasnya, hasutan jahat yang cuba disebarkan melalui aplikasi WhatsApp adalah sikap yang tidak bertanggungjawab, biadab serta kurang ajar.
Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri telah membuat laporan polis berkaitan perkara itu dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan serta mengambil tindakan tegas.