KUANTAN - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat gagal menyelesaikan isu-isu melibatkan komuniti orang asli di negeri ini.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor berkata, pihaknya menerima aduan daripada komuniti orang asli membabitkan pelbagai isu seperti pengangkutan, pendidikan, Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), ekonomi, sosial dan infrastruktur asas di kawasan penempatan mereka.
Menurutnya, rungutan itu membuktikan kerajaan PH gagal membangunkan secara total semua aspek pembangunan orang asli menerusi peruntukan kewangan disalurkan.
"Terus terang saya kecewa apabila beberapa isu membabitkan komuniti orang asli gagal ditangani dengan baik walaupun sudah beberapa kali disuarakan kepada pihak kerajaan dan pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di Cameron Highlands.
"Sebagai contoh isu pengangkutan bas sekolah di perkampungan orang asli Pos Terisu di sini yang tidak dibayar selama enam bulan sehingga perkhidmatan tersebut terpaksa ditamatkan dan anak-anak orang asli tidak dapat ke sekolah.
"Isu ini telah dibangkitkan pada Ogos tahun..Saya sendiri ada bercakap dengan pegawai Jakoa di daerah Cameron Highlands tetapi ia gagal diselesaikan walaupun cadangan penyelesaian sudah diberikan melalui mesyuarat bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramli berkata, sepanjang dua tahun pemerintahan kerajaan PH, tiada satu pun projek pembangunan atau baik pulih infrastruktur asas seperti air, elektrik, jalan raya dan perumahan PPRT dilaksanakan di Cameron Highlands.
Katanya, malah projek-projek pembangunan yang telah diluluskan semasa pemerintahan BN dibatalkan.
"Saya akui perkara yang sedemikian juga berlaku di semua kawasan perkampungan orang asli yang saya lawati di negeri lain," katanya.
Sehubungan itu Ramli merumuskan kerajaan hari ini gagal melaksanakan aspirasi membangunkan komuniti orang asli apabila wujud rungutan sebegini daripada mereka.
"Malah, Pelan Strategik Pembangunan komuniti orang asli yang diuar-uarkan adalah bagai ‘mimpi di siang hari’ dan 'gula-gula untuk kanak-kanak yang menangis’ sahaja.
"Saya akan terus memperjuangkan nasib komuniti ini di Malaysia supaya keadilan dapat diberikan," katanya.