Bantuan kewangan lebih setengah juta untuk PPDK Puteri Gunung

Iklan
Nancy. Foto Bernama

NIBONG TEBAL - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyerahkan bantuan kewangan bernilai RM558,723 kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Puteri Gunung.

Bantuan itu bagi menampung pemberian elaun pelatih orang kurang upaya (OKU), saguhati penyelia dan petugas, sewaan premis dan utiliti.

Iklan
Iklan

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sehingga April lalu, kerajaan menyalurkan RM133,547,788 kepada PPDK seluruh negara, manakala sebanyak RM8,430,313 disalurkan kepada PPDK seluruh Pulau Pinang.

Menurutnya, bantuan kewangan itu adalah untuk memastikan program dan aktiviti harian PPDK berjalan lancar termasuk program pemulihan dan pembangunan dengan penglibatan aktif keluarga serta masyarakat setempat.

Iklan

"Program PPDK merupakan strategi dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial OKU.

"Sehingga kini, terdapat 570 buah PPDK di seluruh negara, yang mana 24 daripadanya terletak di Pulau Pinang," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Replika Cek, Sijil dan Penyerahan Kerusi Roda kepada golongan sasar KPWKM di Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) Sungai Kechil, di sini pada Ahad.

Iklan

Sementara itu, Nancy juga menyerahkan kelulusan bantuan kewangan Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Sungai Bakap.

Beliau bersama Sukarelawan Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) turut menyantuni seorang ibu tunggal warga emas yang tidak mampu menguruskan diri disebabkan masalah penglihatan dan kurang daya ingatan.

Kata Nancy, berdasarkan rekod JKM, Pulau Pinang mempunyai seramai 32 Sukarelawan KBDR, bersedia membantu warga emas yang memerlukan.

"Kementerian melalui JKM sentiasa berusaha untuk memberikan komitmen yang jitu ke arah pembangunan dan pemerkasaan golongan sasar Kementerian bagi memastikan kesejahteraan dan seterusnya meneroka potensi bagi menyumbang kembali kepada masyarakat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!