TANJUNG KARANG - Kegiatan Geng Ayie yang aktif menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan jalan laut tumpas menerusi operasi di pesisir pantai di sini pada Sabtu.
Op Pintas kira-kira jam 11 malam itu dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM).
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi ini berjaya menahan 25 migran warga Indonesia berusia lingkungan 15 hingga 56 tahun termasuk lima wanita.
Menurutnya, siasatan mendapati PATI ini tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai baru masuk ke Malaysia.
"Polis juga menahan tiga lelaki Indonesia berusia 37 hingga 55 tahun berperanan sebagai tekong bot dan pembantu tekong.
"Soal siasat awal dipercayai PATI ini membayar 5 hingga 6 juta Rupiah (sekitar RM1,500 hingga RM1,800) untuk memasuki Malaysia yang dibayar kepada ejen di Indonesia," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, tekong dan pembantu tekong disyaki ahli sindiket Geng Ayie yang aktif menguruskan migran keluar dan masuk Malaysia sejak dua bulan yang lalu.
Tambahnya, bot kayu jenis pom pom yang digunakan ini dipercayai bertolak dari Batubara, Tanjung Balai di Indonesia terus ke Tanjung Karang, Selangor.
"Tekong dan pembantunya disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala PATI diambil tindakan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!