BENTONG - [DIKEMAS KINI] Hajat seorang lelaki bersarapan di Bentong bertukar tragedi selepas ditemukan rentung apabila kereta mewah Lamborghini Huracan yang dipandunya terbakar setelah terbabas di Kilometer (KM) 57 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, mangsa, Fung Swee Yen, 62, terperangkap di dalam kenderaan tersebut dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, siasatan awal kereta yang dipandu mangsa dari Kuala Lumpur menghala ke Bentong.
"Apabila sampai di lokasi, pemandu gagal mengawal kenderaan lalu melanggar tembok, menggelusur ke longkang kiri jalan menyebabkan kereta itu berpusing dan terbakar.
"Penumpang kenderaan iaitu seorang wanita berusia 47 tahun telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan mengalami kecederaan melecur di bahagian tangan dan kaki," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, siasatan awal wanita terbabit adalah rakan mangsa dan telah dibawa ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan serta berada dalam keadaan stabil.
Zaiham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, beliau memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
"Kita juga menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta mematuhi had laju yang ditetapkan," tambahnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 9.06 pagi.
Menurutnya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak 26 kilometer.
"Terdapat kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Lamborghini yang telah terbabas dengan peraturan kebakaran kira-kira 100 peratus.
"Seorang lelaki dewasa iaitu pemandu tersepit di dalam kereta manakala satu perempuan dewasa iaitu penumpang kereta telah dikeluarkan dan dibawa ke hospital oleh orang awam," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ujar beliau, kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera selain mengeluarkan mangsa.
Jelasnya, pemandu yang tersepit telah disahkan meninggal oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," tambahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!