Chinook, Black Hawk curi tumpuan penduduk

Iklan
Helikopter Chinook dari AS paling mendapat tumpuan daripada pengunjung pada Hari Terbuka Eksesais Keris Strike 2024 di lapang sasar Kem Paradise, Kota Belud.

KOTA BELUD - Ribuan penduduk Kota Belud termasuk dari daerah berhampiran datang seawal jam 7 pagi ke lapang sasar Kem Paradise, di sini, bagi menyaksikan pelbagai aset ketenteraan yang dipamerkan sempena Hari Terbuka Eksesais Keris Strike 2024.

Aset ketenteraan yang dipamerkan bukan saja daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi juga melibatkan pasukan ketenteraan dari Amerika Syarikat (AS) dan Australia yang turut terlibat dalam eksesais yang diadakan bermula 28 Jun lalu sehingga 12 Julai ini.

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian mendapati, helikopter Chinook dan Black Hawk milik AS paling mendapat tumpuan daripada pengunjung selain kereta perisai AV8 Gempita milik ATM menjadi tarikan kanak-kanak yang hadir pada hari terbuka tersebut.

Selain itu, kenderaan perisai lipan bara, senjata jenis meriam, mortar, senapang dan pelbagai demonstarasi ketenteraan turut dipertontonkan kepada orang ramai yang berkunjung ke pameran itu.

Iklan
Richard bersama empat anaknya berpeluang merakamkan gambar kenangan pada helikopter Chinook milik AS sempena Hari Terbuka Eksesais Keris Strike 2024 di lapang sasar Kem Paradise, Kota Belud.

Menurut pengunjung, Richard Yamin, 44, dia bersama empat anak dan isterinya keluar rumah seawal jam 6 pagi hanya semata-mata untuk melihat lebih dekat pelbagai aset ketenteraan yang dipamerkan di lapang sasar tersebut.

"Empat anak saya bersungguh-sungguh mengajak datang ke hari terbuka ini walaupun perjalanan dari Kampung Terintidon ke Kem Paradise mengambil masa selama lebih satu jam.

Iklan

"Tetapi sebaik berada di sini, memang kami berpuas hati kerana anak-anak dapat melihat secara dekat dalaman setiap aset ketenteraan terutama helikopter milik tentera AS yang tidak ada di negara kita," katanya ketika ditemui pada Ahad.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Siti Norasnierah Abd Rashid, 19, dari Kampung Kawang-Kawang, menganggap kunjungannya ke hari terbuka itu sebagai salah satu lawatan sambil belajar untuk mengetahui kemampuan pasukan ATM yang dilihat setanding dengan negara barat.

Gempita menjadi tumpuan kanak-kanak apabila mereka diberi peluang untuk melihat aset persenjataan yang berada di atas kenderaan tersebut.

"Saya bangga melihat aset ketenteraan kita sebaris dengan aset negara barat bersama-sama dipamerkan pada hari terbuka ini.

"Sebagai pelajar Tingkatan Enam, ini peluang saya belajar mengenai hal-hal keselamatan negara," katanya.

Sebelum itu, pameran tersebut turut dihadiri Komander Rejimen 507 Askar Wataniah, Brigedier Jeneral Datuk Al-Hambra Juhar, Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Mohd Azhar Hamin.