Hanya negara ambang muflis sahaja pinjam IMF - Rafizi

Iklan
Rafizi. Foto Bernama

NIBONG TEBAL - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menempelak pihak pembangkang berhubung pernyataan yang mengaitkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan ketika ini dengan pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Rafizi yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, tidak timbul soal pinjaman IMF kerana hanya negara yang berada di ambang muflis sahaja yang akan mendapatkan bantuan kewangan sedemikian.

Iklan
Iklan

"Kamu tak boleh pergi kepada IMF kalau kamu boleh bayar hutang. Ada Malaysia nak bankrap sekarang, ada kita tak boleh bayar hutang? Tak timbul soal IMF, kalau pun ada orang gila nak pinjam IMF, IMF akan kata kamu gila.

"Kamu tak boleh pinjam daripada kami (IMF) kerana kamu masih lagi ada duit. Negara yang pergi kepada IMF hanyalah negara yang sudah nak bankrap, baru boleh pergi kepada IMF," katanya ketika berucap pada Ceramah Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Taman Tasek Indah, Simpang Ampat di sini malam Sabtu.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada pertanyaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kempen ceramah mega PN di Sungai Bakap pada Jumaat lepas yang bertanyakan sama ada pelaksanaan penyasaran subsidi diesel itu mempunyai kaitan dengan pinjaman IMF.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin dan calon PN, Abidin Ismail yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. - Bernama

Iklan

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.