KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 2,332 belia berumur 16 hingga 40 tahun atas pelbagai kesalahan rasuah dalam tempoh lima tahun sejak 2019.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Nazli Rasyid Sulong berkata, ia antaranya melibatkan kesalahan menerima dan memberi rasuah, membuat tuntutan palsu, menggunakan jawatan atau kedudukan dan penggubahan wang haram.
Beliau berkata, berdasarkan data tersebut, ia memberikan gambaran aktiviti rasuah dalam kalangan golongan muda adalah isu serius yang perlu dibendung supaya tidak dinormalisasikan dalam kehidupan.
"Oleh itu, SPRM berusaha untuk terus memberi pengetahuan kepada kumpulan muda terutama mahasiswa yang menjadi harapan dan barisan kepimpinan negara pada masa akan datang,” katanya pada majlis penutup Konvensyen Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) kali ke-9 di Alor Gajah, Melaka pada Ahad.
Teks ucapan beliau dikongsikan kepada Bernama di sini.
AMAR yang ditubuhkan sejak 17 tahun lepas bergerak menyebarkan mesej antirasuah di kampus-kampus dengan 2,988 program telah dilaksanakan melibatkan penyertaan 816,734 pelajar.
Dalam pada itu Nazli Rasyid berharap AMAR terus kekal releven merentas masa dalam menyebarluaskan mesej antirasuah di negara ini.
"Sesungguhnya ahli AMAR sedang melaksanakan tanggungjawab sosial sebagai seorang warganegara Malaysia yang inginkan negara ini dan masyarakat secara amnya hidup bebas tanpa belenggu rasuah,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!