PENAMPANG - Daerah Penampang dan Sipitang di negeri ini dilanda banjir kilat akibat hujan lebat yang berterusan sejak, petang tadi.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan berikutan banjir kilat itu Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom, Jalan Limbanak, dan Jalan Pukakon-Pomotodon di Penampang tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
"Selain banjir kilat, terdapat juga kejadian cerun runtuh di Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom sekitar Kampung Timpoluon, kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan namun buat masa ini tiada jalan alternatif yang boleh digunakan pengguna,” katanya.
JKR memaklumkan banjir kilat turut menyebabkan beberapa jambatan di Jalan Limbanak dan Jalan Pukakon-Pomotodon dinaiki air serta boleh membahayakan situasi kepada pengguna. Buat masa ini juga tiada jalan alternatif untuk pengguna di kedua-dua jalan tersebut.
"Hujan berterusan menyebabkan paras air laut naik dan menyebabkan backflow discharge drainage. Buat masa ini jalan terlibat masih boleh dilalui kenderaan, namun pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati,” katanya.
Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dalam kenyataan berasingan memaklumkan beberapa kampung turut terlibat dalam banjir kilat itu antaranya Kampung Kolopis, dan Kampung Sugud selain terdapat penutupan jalan dilakukan.
"Orang awam diminta untuk merancang perjalanan dan menggunakan laluan lain berikutan beberapa jalan di sekitar Penampang dinaiki air susulan hujan lebat,” menurut kenyataan itu.
Anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang telah ditugaskan ke kawasan jalan dilanda banjir kilat untuk membantu pengguna jalan raya.
"Anggota bertindak melencongkan kenderaan supaya tidak melalui jalan yang dinaiki air akibat banjir dan tanah runtuh selain mengawal keselamatan lalu lintas,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan memaklumkan ribut petir di kawasan pantai barat Sabah, Kudat, Tongod, Beluran serta beberapa kawasan pedalaman negeri itu, dan ia diramal berlaku sehingga pukul 7 malam ini. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!