SHAH ALAM - Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama memupuk kesedaran bahaya rasuah dari peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) supaya negara tidak tandus modal insan berintegriti pada masa hadapan.
Kolaborasi itu dilakukan menerusi Program Konvensyen Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) yang turut mendedahkan mengenai bencana yang akan menimpa negara jika rasuah tidak dibendung dan dihalang dengan bersungguh-sungguh.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Nazli Rasyid Sulong berkata, inisiatif berkenaan dapat memberi pengetahuan dan pendidikan yang meluas kepada pemimpin pelajar supaya mereka sedar bahawa tanggungjawab memerangi rasuah adalah tanggungjawab bersama.
"Terima kasih kepada pihak YBR kerana menaja program kesedaran ini. Saya berharap program ini akan diteruskan lagi di masa akan datang dan jadikan sebagai acara tahunan.
"Ia sekali gus menjadi kempen pencegahan rasuah yang lebih sistematik, bersepadu dan berterusan di kalangan mahasiswa yang mana mereka bakal menjawat jawatan sebagai pegawai di sektor awam mahupun swasta," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Seramai 126 mahasiswa dari IPT awam dan swasta, Institusi Pendidikan Guru (IPG) serta Institusi Pendidikan Mara (IPMa) menyertai Program Konvensyen AMAR yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Kem Permata Resort, Alor Gajah, Melaka.
Matlamat program yang menghimpunkan presiden dan timbalan presiden AMAR dalam kalangan mahasiswa tersebut juga untuk melahirkan pelajar yang mampu menggerakkan kesedaran supaya menjadi sebuah masyarakat peka dan prihatin terhadap inisiatif pencegahan rasuah serta membudayakan perkara yang betul di dalam kehidupan.
Nazli turut menyempurnakan majlis perasmian program berkenaan.
Turut hadir, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu, Syaiful Rizal berkata, bagi mewujudkan modal insan yang berintegriti, mahasiswa dan siswi perlu dari awal didekati untuk dipupuk serta diperkukuhkan dengan nilai-nilai murni dan asas pendidikan antirasuah secara tidak formal.
Menurutnya, ia bagi memastikan ketelusan dan integriti dapat disemat di hati mereka ketika masih belajar lagi.
"Inisiatif ini diharapkan dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk mengamalkan budaya kerja yang baik, bebas rasuah, meningkatkan disiplin dan integriti serta sikap tanggungjawab dalam tugas yang di amanahkan seawal di peringkat pengajian tinggi," ujarnya.
Justeru, tambah beliau, dengan kerjasama bersama Seksyen Pendidikan Tinggi, Cawangan Pendidikan Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM ia memberi kesan positif terhadap penyertaan pelajar dalam mempelajari dan mendalami kepentingan antirasuah.
Katanya, usaha tersebut diharapkan sebagai pemangkin bagi melahirkan generasi penggerak bagi aktiviti pendidikan antirasuah.
Berdasarkan kajian skor ketelusan tertinggi yang dijalankan oleh Wiki Impact tahun lalu, YBR disenaraikan antara tujuh yayasan yang mendapat markah tertinggi daripada 32 yayasan terbaik di Malaysia.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!