GAZA - Serangan Israel yang berterusan di Semenanjung Gaza memaksa seorang wanita, Samia Ahmed membuat keputusan yang amat menyedihkan dalam hidupnya, lapor Xinhua.
Di sebatang jalan yang hancur di bandar Khan Younis, selatan Gaza, dia menjual cincin emasnya yang berharga kepada seorang peniaga barang kemas. Keseluruhan proses hanya mengambil beberapa minit, tetapi kesedihannya masih dirasai wanita itu.
"Ia adalah peninggalan terakhir daripada ibu saya, yang meninggal dunia beberapa tahun lalu. Saya tidak pernah terfikir untuk melepaskannya, tetapi anak-anak saya kelaparan, dan saya memerlukan wang untuk membeli sedikit makanan.
"Konflik memaksa kami melakukan apa sahaja untuk terus hidup. Kenangan tidak boleh menyelamatkan kami daripada kematian atau kebuluran," kata Samia sambil meyakinkan dirinya bahawa itu adalah pilihan yang tepat.
Namun, serangan udara Israel ke atas pasar Khan Younis pada Mac mengakibatkan suami Samia kehilangan kaki kanannya sekali gus keluarga itu kehilangan sumber utama pendapatan.
"Selama berbulan-bulan ini, kami hidup dalam malapetaka. Semua keperluan asas untuk manusia bertahan menjadi semakin sukar diperoleh di sini," keluh Samia.
Sama seperti Samia, Alia Amin, seorang ibu berusia 45 tahun dengan tujuh anak dari Deir al-Balah, juga terpaksa menjual barang kemasnya untuk membeli khemah untuk keluarganya yang terpaksa berpindah dari kawasan pantai Al-Mawasi di barat Rafah tiga hari lalu.
"Kami terpaksa melarikan diri dari satu tempat ke tempat lain hanya untuk terus hidup," katanya kepada Xinhua, sambil menambah bahawa suaminya terbunuh dalam serangan udara Israel di bandar Rafah empat bulan lalu.
Untuk terus hidup dalam perpindahan paksa yang tidak berkesudahan, Alia tidak ada pilihan selain menjual barang kemasnya satu persatu.
"Saya baru sahaja menjual barang kemas terakhir saya. Saya tidak tahu bagaimana saya akan hadapi apabila wang itu habis," kata Alia.
Seperti Samia dan Alia, ramai wanita terpaksa menjual barang kemas mereka untuk menampung keluarga mereka.
Zuheir, seorang peniaga barang kemas di kawasan Al-Mawasi, berkata kerana perang, wanita terpaksa menjual barang kemas mereka pada harga rendah.
"Setiap hari, puluhan wanita datang untuk menjual barang kemas mereka untuk mendapatkan wang," kata Zuheir.
Sebelum konflik, setiap gram barang kemas emas dijual pada harga AS$5 (RM235), tetapi kini, ia hanya bernilai AS$30 (RM141), menurut Zuheir.
Jumlah itu hanya boleh membeli tidak lebih daripada dua kilogram gula di utara Gaza, berdasarkan laporan PBB pada Mei.
Zuheir memberi amaran, wanita di Gaza akan segera menjual barang kemas terakhir mereka, dan keadaan hanya akan menjadi semakin suram bagi mereka dan keluarga mereka. - Bernama-Xinhua
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!