SHAH ALAM - Rasionalisasi subsidi terhadap petrol RON95 hanya sesuai dilaksanakan ketika ekonomi negara berada dalam keadaan stabil atau menunjukkan pertumbuhan positif.
Koordinator Pusat Keusahawanan Mahasiswa Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak berkata, pelaksanaannya juga memerlukan satu analisis mendalam dan pragmatik.
Menurutnya, ia tidak boleh dilaksanakan tanpa meminimumkan risiko gangguan ekonomi dan sosial yang mungkin timbul akibat perubahan drastik dalam dasar atau struktur perniagaan.
"Rasionalisasi perlu dilaksanakan pada masa di mana penerimaan masyarakat terhadap perubahan adalah tinggi.
"Memilih waktu yang sesuai juga bermaksud memastikan perubahan tidak dilaksanakan semasa tempoh ketidakstabilan seperti pilihan raya atau krisis ekonomi global bagi mencapai matlamat yang diinginkan,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Mohamad Idham berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan penggunaan teknologi untuk mengawal selia pelaksanaan subsidi petrol bagi memudahkan pemantauan supaya dapat mengelakkan penyelewengan.
Ujar beliau, penggunaan teknologi bukan sahaja membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, tetapi juga menyokong matlamat jangka panjang mengurangkan subsidi umum yang membebankan ekonomi negara.
"Ini akan menyumbang kepada kelestarian fiskal serta penjanaan dana untuk pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan awam yang lebih baik,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!