BESUT - Seorang bekas pemandu bas mengambil inisiatif memajak pokok kelapa daripada penduduk kampung bagi memperoleh bekalan air nira segar untuk dijual sekali gus membantu menjana pendapatan menyara keluarga.
Rosniman Ishak, 44, berkata, dia telah memajak kira-kira 10 batang pokok kelapa di mana setiap sebatang pokok dibayar RM10 setiap bulan.
Menurutnya, kebiasaannya pokok kelapa yang di pajak berada di sekitar rumah atau dalam kebun pemiliknya.
"Selepas berhenti kerja sebagai pemandu bas di ibu negara pada 2018 dan berhijrah ke Kampung Tok Dor, saya tiada pekerjaan untuk menyara keluarga dan anak-anak.
"Jadi saya mula terfikir untuk pajak pokok kelapa. Waktu itu saya tiada pokok kelapa yang sesuai untuk memperoleh bekalan air nira segar setiap hari," katanya ketika ditemui di Kampung Tok Dor di sini baru-baru ini.
Rosniman berkata, kaedah pengumpulan air nira kelapa diperoleh hasil pengalaman mengikut dan membantu ayahnya mencari sumber manisan itu sejak kecil.
Katanya, dia kini mampu meraih pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan hasil daripada jualan air nira tersebut.
"Dengan jumlah pokok yang ada ini saya mampu mendapatkan air nira kira-kira 70 hingga 100 liter air nira kelapa dalam seminggu dan ia akan dijual setiap hari sekitar harga RM10 sebotol.
"Saya akan tuai hasil air nira ini dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi selepas Subuh dan waktu petang selepas Asar," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!