PENGENDALI Sepanyol, Luis de la Fuente berkata pasukannya sepatutnya boleh menang dengan jaringan besar ke atas Georgia ketika mereka mara ke suku akhir Euro 2024, awal pagi Isnin untuk menentang tuan rumah Jerman.
La Roja ketinggalan menerusi jaringan sendiri Robin Le Normand tetapi bangkit untuk meraih kemenangan 4-1 di Cologne dalam aksi 16 pasukan terbaik.
Rodri, Fabian Ruiz, Nico Williams dan Dani Olmo menjaringkan gol untuk Sepanyol, manakala pemain sayap berusia 16 tahun, Lamine Yamal terlepas dua peluang keemasan yang boleh menyaksikan dia dinobatkan sebagai penjaring termuda Euro.
"(Keputusan) mengelirukan kerana boleh jadi 8-1 atau 9-1. Kami tertekan dengan serangan balas Georgia.
"Mereka tidak berjaya mendapatkan percubaan tepat ke sasaran dan kami menggunakan percubaan dengan baik. Jadi kami sangat gembira dengan keputusan ini," katanya.
Dalam pada itu, De la Fuente percaya bahawa perlawanan sukar bakal dihadapi mereka menentang Jerman di Stuttgart pada aksi suku akhir.
"Jerman adalah pasukan yang hebat, memiliki pemain terbaik di dunia dan sudah tentu sukar buat kami.
"Mereka teratur dan berdisiplin, tetapi mereka akan mempunyai lawan yang hampir sama dengan komitmen, prestasi konsisten dan bercita-cita tinggi.
"Ia akan menjadi permainan yang sangat seimbang dan sekata pada tahap ini. Kami perlu terus bekerja dan terus fokus pada kekuatan serta terus meningkat lagi," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!