SHAH ALAM - Jemaah haji negara ini teruja menaiki Sistem Kereta Api Laju Haramain dari Makkah ke Madinah yang menjimatkan masa mereka kira-kira lima jam.
Perjalanan yang lebih singkat itu juga memudahkan pergerakan jemaah warga emas yang menggunakan kerusi roda.
Menurut Pengarah Operasi Haji, MKM Ticketing Travel & Tours (MKM), Dr Abdul Hadi Abdul Raman, perjalanan menaiki tren laju yang dibuka sejak 2018 hanya mengambil masa sekitar 2 jam 30 minit.
"Jadi jemaah tidak perlu duduk terlalu lama dalam perjalanan sejauh lebih kurang 547 kilometer dari Makkah ke Madinah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sistem Kereta Api Laju Haramain mampu bergerak pada kelajuan 300 kilometer (km) sejam dan membawa jemaah kedua-kedua bandar raya menerusi pelabuhan Laut Merah dari Jeddah.
Ia boleh memuatkan kapasiti 4,000 penumpang pada satu-satu masa dan mampu mengangkut 60 juta penumpang setahun.
Kemudahan berkenaan juga digambarkan oleh para pegawai tempatan sebagai projek pengangkutan terbesar di rantau itu.
Abdul Hadi berkata, kesemua jemaah haji yang dikelolakan mereka juga meluahkan rasa gembira kerana berpeluang merasai sendiri kemudahan canggih tren laju terbabit.
"Bagi jemaah warga emas, mereka dah tak perlu tunggu waktu perjalanan yang lama. Bila cepat sampai, cepatlah mereka dapat rehat selain dapat gunakan masa yang dijimatkan untuk beribadat," ujarnya.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan semasa ibadah haji menerusi laman sesawang MKM di mkm.my.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!