'Bekas ADUN PN tak pernah bahas masalah air di Sungai Bakap' - Rayer

Iklan
Rayer ketika berucap di pentas ceramah Perpaduan di sini pada Ahad.

SUNGAI BAKAP - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zambri Latiff tidak pernah berbahas isu masalah bekalan air yang berlaku di kawasannya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

Dakwaan itu dibuat Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dalam pentas ceramah Perpaduan yang diadakan pada Ahad dengan alasan beliau tidak pernah membaca sebarang laporan akhbar mahupun melihat rakaman video perbahasan oleh bekas wakil rakyat Pas itu sebelum ini.

Iklan
Iklan

Malah beliau mencabar mana-mana pemimpin Perikatan Nasional (PN) untuk kemukakan sebarang bukti sekiranya bekas ADUN Sungai Bakap itu pernah membahaskan masalah air melalui laporan akhbar atau video.

"Boleh kah kita percaya kepada pemimpin PN untuk jalankan tugas? Tak boleh sebab isu bekalan air di Sungai Bakap tidak pernah dibahas.

Iklan

"Saya sekarang cabar kepada pemimpin-pemimpin PN, kalau perkara ini pernah dibahaskan oleh mantan ADUN Sungai Bakap ketika beliau menyandang jawatan di kawasan ini, sebelum beliau meninggal dunia saya minta mereka buktikan melalui laporan akhbar atau video-video," katanya.

Dalam pada itu, Rayer mengingatkan pengundi di Sungai Bakap agar tidak sekali lagi membuat kesilapan dalam memilih wakil rakyat mereka pada hari pengundian yang akan berlangsung pada Sabtu depan.

Iklan

Sebaliknya, Ahli Parlimen DAP itu berkata, pengundi perlu memilih calon dari Pakatan Harapan (PH) yang mampu bersuara dan membawa masalah ini ke perhatian pihak sewajarnya.

"Kita perlu mengundi calon seperti yang pernah ditampilkan PH sebelum ini, kemana saja saya turun berkempen sebelum ini masih ramai yang puji dan mengenang jasa bekas ADUN kita, Datuk Amar Pritpal Abdullah.

"Saya tahu Amar Pritpal banyak berusaha dan membawa ke depan mengenai masalah ini, malah beliau juga telah mengatur perbincangan termasuk menyuarakan isu ini kepada perhatian Ketua Menteri untuk mencari jalan penyelesaian," katanya.

Rayer mengakui masalah bekalan air yang berlaku bukan sahaja melibatkan kawasan Sungai Bakap sahaja selama ini malah di Jelutong juga mengalami isu sama yang dikatakan berpunca daripada perubahan iklim.

Jelasnya, disebabkan perubahan itu menyebabkan bekalan utama air di negeri ini yang diambil dari Sungai Muda semakin berkurangan hingga mengakibatkan gangguan di beberapa kawasan.

Bagaimanapun katanya, masalah itu telah diatasi sebaiknya oleh kerajaan negeri melalui projek serta pelan pembangunan dilakukan termasuk penglibatan kerajaan Persekutuan dalam menyelasaikan isu berkenaan tidak lama lagi.

"Saya percaya masalah bekalan air di kawasan ini dapat diselesaikan, maklum lah memang ada rancangan satu lagi projek yang dirancang dimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan selesaikan masalah gangguan air bukan sahaja di Sungai Bakap tetapi di seluruh negeri ini dengan masa yang terdekat," katanya.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.