Cuba bawa tunai lebih RM600,000 ke luar negara

Iklan
Norlela (tiga dari kanan) menunjukkan wang tunai yang dirampas susulan penahanan seorang lelaki di KLIA, pada 13 Jun lalu.

SEPANG - Sejumlah wang tunai bernilai lebih RM600,000 yang dibawa lelaki warga asing di balai pelepasan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, dirampas pada 13 Jun lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, penumpang yang hendak menaiki pesawat ke sebuah negara di Timur Tengah itu ditahan Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah dengan kerjasama pasukan Aviation Security (AVSEC)

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengembara berusia lingkungan 60-an itu ditahan susulan pemeriksaan pada bagasi dibawanya semasa proses pemeriksaan kastam.

Wang tunai mata wang Ringgit Malaysia dan Dollar Singapura dirampas JKDM di KLIA, pada 13 Jun lalu.

"Pemeriksaan rapi menemui mata wang ringgit berjumlah RM572,563 dan 24,500 dollar Singapura (kira-kira RM85,158).

Iklan

"Siasatan masih dijalankan untuk kenal pasti sumber wang tunai milik lelaki dipercayai merupakan pengarah sebuah syarikat di luar negara itu," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perkastaman Kargo KLIA di sini pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLAFTPUAA) 2001 kerana lelaki itu tidak membuat pengikraran ke atas amaun tunai yang hendak dibawa keluar dari Malaysia dan melanggar Peraturan 55(1)(b) Peraturan Kastam 2019.

Iklan

Katanya, pengembara yang ingin membawa keluar amaun tunai dan instrumen boleh niaga perlu mengikrarkannya menggunakan Borang Kastam No 7.

"Ikrar ini perlu sekiranya amaun melebihi atau bersamaan nilai AS$D 10,000," katanya.

Tambah Norlela, selain itu, kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mata wang Ringgit Malaysia perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum dibawa keluar dari Malaysia.

Ujar beliau, ini merupakan kes kedua yang diperolehi JKDM Zon Tengah, melibatkan cubaan sedemikian.

Justeru, kata Norlela, orang ramai digesa untuk membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan tersebut.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!