KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang dalam proses memuktamadkan format Sijil Fitosanitari bersama Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) bagi kelulusan eksport durian segar dari Malaysia ke republik itu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Jabatan Pertanian turut mengemukakan senarai ladang dan fasiliti pembungkusan sedia ada bagi mempercepatkan kelulusan berkenaan.
"Hanya ladang serta fasiliti pembungkusan buah durian yang memohon dan berdaftar dengan Jabatan Pertanian, mematuhi piawaian myGAP (Amalan Pertanian Baik) dan mendapat kelulusan GACC menerusi pematuhan syarat-syarat ditetapkan, akan dibenar mengeksport buah itu ke China.
"KPKM menjangkakan proses kelulusan pendaftaran dengan GACC ini memerlukan tempoh selama dua hingga tiga bulan dan eksport buah durian segar dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2024," katanya ketika Sesi Jawab Lisan sidang Dewan Rakyat, pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) mengenai usaha kementerian untuk mempercepatkan proses pengeksportan durian segar ke negara China dan jangka masa pengeksportan tersebut boleh bermula.
Dalam pada itu Mohamad menjelaskan, KPKM menerusi Jabatan Pertanian juga telah menjalankan usaha mengeksport durian segar ke republik tersebut sejak 3 Mac 2023 setelah akses pasaran buah nangka segar berjaya diperolehi daripada GACC.
Menurut Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, beberapa inisiatif turut diambil bagi mempercepatkan proses mendapatkan akses pasaran eksport antaranya, mengadakan rundingan secara berterusan dengan GACC serta menandatangani kenyataan bersama pada 6 Oktober 2023 bagi mengukuhkan komitmen tersebut.
"Kementerian turut menganjurkan lawatan awal GACC ke ladang durian di Melaka pada 7 Oktober 2023, menerima lawatan pasukan Analisis Risiko Perosak GACC ke tiga ladang durian terpilih di Tapah, Batu Pahat dan Tangkak serta tiga fasiliti pembungkusan terpilih pada Januari lalu,” jelasnya.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai pemilihan China sebagai negara eksport buah durian segar, Mohamad menjelaskan, pasaran serta permintaan dari republik itu semakin luas.
"Kenapa (eksport) China, sebab (rakyat) China makan durian. Negara-negara Arab belum makan durian lagi, bahkan bau pun tidak boleh, begitu juga (negara) Eropah.
"China makan durian secara besar-besaran dan mempunyai ratusan juta rakyat yang mampu berbelanja. Sebab itu kalau nak dihantar ke negeri lain, ada pasaran tetapi tidak seperti China kerana durian amat digemari di sana.
"Walau bagaimanapun, kita akan cuba memasarkan produk negara ke seluruh dunia, terutama mereka yang memerlukan,” ujarnya,
*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.