KUALA TERENGGANU - Lima sekeluarga sempat menyelamatkan diri apabila dua buah rumah dua tingkat didiami mereka hangus dipercayai disambar petir dalam kejadian di Kampung Gong Tok Nasek, di sini, petang Ahad.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang itu disedari jiran mangsa yang kebetulan berada tidak jauh dari kediaman tersebut.
Menurut saksi, Mohd Abdul Salam Mohamad Noh, 35, sebelum kejadian dia terdengar bunyi petir yang kuat sebelum ternampak percikan api dari bahagian atas rumah berkenaan.
"Lepas bunyi petir tu saya nampak ada percikan api dan asap di rumah pertama. Saya segera berteriak memanggil orang di dalam rumah untuk keluar.
"Dalam hujan lebat tu saya terpaksa tendang pintu rumah beberapa kali sambil melaungkan azan sebab angin kencang menyebabkan api marak dengan cepat," katanya.
Mohd Abdul Salam berkata, api merebak ke sebuah lagi rumah dalam tempoh tidak sampai lima minit api dan kedua-dua bahagian rumah itu terbakar sepenuhnya tidak sampai 10 minit.
Katanya, tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan rumah ketiga daripada terbakar dan hanya sebahagian kecil terjejas.
"Mujurlah bomba sempat datang padamkan api kalau tak saya rasa beberapa buah rumah berdekatan juga akan terbakar sebab api mereka dengan cepat," ujarnya.
Sementara itu, keluarga mangsa, Roslan Mohamad Kifli, 42, berkata, ketika kejadian dia tiada di situ dan terkejut apabila menerima panggilan memberitahu kediaman keluarga dan bapa saudaranya hangus terbakar.
"Waktu dapat tahu rumah terbakar tu saya bergegas dari Manir di ke sini, sepanjang perjalanan saya risau kerana bimbang apa-apa berlaku kepada mereka.
"Syukurlah, ibu dan ayah, seorang abang dan dua adik berjaya keluar selamatkan diri.
"Cuma abang saya, Hanafiah, 43, terpaksa terjun dari tingkat atas ke bawah kerana tangga rumah sudah hangus. Mujurlah dia tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Menurut Roslan, kejadian itu kali kedua berlaku di kawasan berkenaan selepas kejadian kali pertama membabitkan empat buah rumah terbakar, 16 tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abnihajar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 4.46 petang sebelum tiba di lokasi tujuh minit kemudian.
Katanya, seramai 23 anggota dari BBP Kuala Terengganu dan BBP Jalan Kota beserta dua buah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah water tanker, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua kenderaan utiliti dikerahkan ke lokasi berkenaan.
"Sebaik tiba api sedang marak membakar dua buah rumah separuh kekal dan hampir merebak ke rumah ketiga.
"Bahagian atas rumah pertama 100 peratus terbakar manakala bahagian bawahnya 80 peratus terbakar. Rumah kedua juga terbakar 100 peratus bahagian atas dan bahagian bawah 90 peratus terbakar.
"Rumah ketiga berjaya diselamatkan dan hanya 5 peratus terbakar. Kebakaran berjaya dikawal sekitar jam 5.33 petang dan operasi ditamatkan jam 7.40 malam," katanya.
Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!