KUANTAN - Dua ekor ikan spesies pari yang berjaya dinaikkan membawa tuah kepada seorang kaki pancing, Mohd Azmi Shafie apabila meraih kemenangan berganda pada pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Shimano Surfcasting di Pantai Sepat di sini pada Ahad.
Mohd Azmi dari Kemaman Terengganu menaikkan dua ikan pari itu dalam jarak masa selang satu minit.
Ikan pari pertama seberat 6.065 kilogram (kg) dinaikkan jam 10.05 pagi manakala ikan pari kedua seberat 3.910kg mengena mata pancing dan berjaya dinaikkan jam 10.06 pagi.
'Rezeki tidak salah alamat' apabila kedua-dua ikan itu membawa tuah berganda buat Mohd Azmi apabila muncul juara dan pemenang tempat kedua pada pertandingan memancing itu sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.00(juara) dan RM4,000 (tempat kedua).
Sementara itu, Mohd Azmi berkata, spesies ikan pari menjadi sasarannya pada pertandingan itu.
"Sasaran memang spesies pari jadi sejak dari awal saya menggunakan umpan udang hidup.
"Allhamdulillah, percaturan saya menjadi, namun tidak menyangka berjaya menaikkan dua pari dengan dua joran yang saya daftarkan,’’ katanya.
Hadiah disampaikan Pengarah Pemasaran Shimano Pte Ltd Singapura, Kelvin Yiu.
Turut hadir Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pantai Sepat, Adnan Bakar dan Setiausaha Kelab Pemancing Surfcast Profesional Bersatu Malaysia (Mupsac), Hanifah Salam.
Pemenang tempat ketiga disandang Azmi Ahmad yang berjaya menaikkan ikan todak seberat 2.885kg sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000.
Sementara itu, Hanifah berkata, pertandingan kali ini mendapat sambutan menggalakkan berikutan hadiah cabutan bertuah peralatan memancing Shimano yang disediakan penganjur.
Menurutnya, sokongan daripada Tourism Malaysia menerusi Program Cuti-Cuti Malaysia juga mendapat kepercayaan tinggi daripada para pemancing.
"Keyakinan acara ini bakal berlangsung lancar tanpa masalah mendorong pemancing untuk menyertai acara ini dari seluruh negara," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!