Lelaki didakwa cederakan ibu diarah jalani pemeriksaan mental

Iklan
Tertuduh (kemeja biru) ketika hadir ke mahkamah diiringi anggota polis.

JEMPOL - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Majistret di sini mengarahkan seorang lelaki menjalani pemeriksaan mental sebelum didakwa atas pertuduhan mencederakan ibu kandungnya dengan pisau di sebuah rumah di Felda Raja Alias di sini, bulan lalu.

Majistret Norshazwani Ishak membuat perintah itu terhadap lelaki berusia 20 tahun yang dihadapkan ke mahkamah itu, pada Isnin.

Iklan
Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh dihantar untuk menjalani pemeriksaan mental.

"Maka saya mohon pihak mahkamah di bawah kuasa yang diperuntukkan dalam seksyen tersebut untuk OKT ini dirujuk ke hospital untuk penilaian mental sebelum pengakuan direkodkan," katanya.

Iklan

Tertuduh berdepan dengan pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas ibunya dengan menggunakan pisau pada 22 Jun lalu, lebih kurang jam 12.50 tengah hari di sebuah rumah di Felda Raja Alias 1, Bandar Seri Jempol.

Pendakwaan akan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana daripada hukuman itu,jika sabit kesalahan.

Iklan

Mahkamah seterusnya memerintahkan tertuduh menjalani pemantauan dan pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor selama sebulan.

Tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan 2 Ogos ini sebagai tarikh sebutan kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!