UMNO mahu kerusi Parlimen Kuala Kangsar

Iklan
Maslin Sham

IPOH - UMNO Bahagian Kuala Kangsar yakin kerusi Parlimen Kuala Kangsar akan diberikan kepada mereka jika sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di kawasan tersebut dalam masa terdekat.

Ketuanya, Datuk Maslin Sham Razman berkata, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), UMNO berada pada kedudukan kedua dari segi perolehan jumlah undi selepas penyandangnya yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Iklan
Iklan

Jelas beliau, berdasarkan keadaan itu, amat wajar kerusi itu diberikan kepada UMNO untuk meletakkan calon bertanding di kawasan berkenaan jika berlaku kekosongan.

"Dari segi calon, kita akan senaraikan beberapa nama untuk dipertimbangkan dan kesemua nama-nama calon ini merupakan anak tempatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Beliau menegaskan, UMNO Bahagian Kuala Kangsar mahu calon tersebut mesti dalam kalangan anak tempatan dan bukan daripada orang luar lebih-lebih lagi individu yang mengkhianati mandat rakyat.

Maslin Sham berkata, pihaknya bagaimanapun menyerahkan keputusan muktamad mengenai calon tersebut kepada pucuk pimpinan parti.

Iklan

Mengenai persiapan awal bagi menghadapi kemungkinan PRK tersebut, beliau menjelaskan bahawa gerak kerja pilihan raya sudah lama dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurutnya, UMNO mempunyai pengalaman cukup luas dalam menghadapi pilihan raya sama ada PRU ataupun PRK.

Jelasnya, setiap kali pilihan raya, jentera akan saling membantu antara satu sama lain bagi memastikan calon mewakili parti menewaskan lawan.

Pada Ahad, UMNO Bahagian Bukit Gantang mengumumkan sudah memilih seorang calon untuk berdepan PRK di kawasan Parlimen Bukit Gantang jika ia berlaku.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, jawatankuasa UMNO bahagian sepakat menamakan Naib Ketua UMNO bahagian itu, Ahmad Saidi Mohamad Daud sebagai calon berkenaan.

Pada 20 Jun lalu Bersatu menerusi satu kenyataan memberitahu notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam Ahli Parlimen mereka telah diserah dan diterima pejabat Speaker Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, notis membabitkan kekosongan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan itu juga telah ditandatangan olehnya selaku Ketua Whip parti.

Sebelum ini, tujuh wakil rakyat Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Daripada tujuh itu, enam membabitkan Ahli Parlimen iaitu Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Seorang lagi wakil rakyat yang turut digugurkan keahlian adalah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!